Pemerhati ISMA sempat temui tokoh penting Turki
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, Sabtu – Delegasi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang ke Turki sebagai pemerhati pilihan raya berkesempatan berjumpa dengan Perdana Menteri dan tokoh-tokoh berwibawa negara itu.
Ketua Delegasi ISMA, sebuah pertubuhan Islam sederhana, Haji Aminuddin Yahaya, berkata delegasi semnpat berjumpa dengan Perdana Menteri Turki, Ahmed Davuoglu dan bertukar-tukar pandangan dengan beliau mengenai pelbagai perkara.
“Selain itu kami juga dapat bertukar-tukar pandangan dengan pimpinan parti AKP di Istanbul dan Ankara,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, ketika ini keadaan di Turki dalam suasana sibuk berkempen, deligasi pemerhati ISMA yang memantau pilihan raya Parlimen negara itu juga sempat menghadiri siri ceramah politik di sebuah bandar, Siirt.
“Ketika itu, puluhan ribu rakyat hadir dalam siri ceramah kempen tersebut. Namun terdapat sedikit pergaduhan berlaku antara penyokong AK Parti dgn penyokong parti lawan.
“Namun difahamkan, peluang AKP untuk menang adalah cerah walaupun mendapat tentangan dari parti-parti lawan. Ini kerana rata-rata penduduk Turki masih menyokong AKP,” jelasnya ketika dihubungi Ismaweb.
Sementara itu, Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad yang turut serta dalam delegasi ini berkata, pimpinan muda AKP merupakan nadi penting jentera kempen parti berkenaan.
“Mereka menunjukkan semangat dan komitmen luar biasa demi kemenangan parti.
“Belia Turki sangat aktif dalam politik. Terdapat ramai Ahli Parlimen muda termasuk seorang wanita berusia 26 tahun sebagai Ahli Parlimen dari AKP.
“Disebabkan belia berusia 18 tahun secara automatik terdaftar sebagai pengundi, mereka tidak hadapi masalah pendaftaran seperti kita di Malaysia, namun fokus mereka adalah untuk pastikan majoriti belia keluar mengundi,” katanya.
Bagaimanapun, majoriti pemuda dan pemudi di Turki pengaruh Barat masih kuat dalam hidup mereka dari segi pemakaian, pergaulan, hedonisme dan gaya hidup liar.
“Inilah antara cabaran utama yang cuba ditangani oleh para aktivis belia AKP,” kata Lukman.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan