Pemimpin Ikhwanul Muslimin meninggal dalam penjara
KAHERAH, Rabu – Seorang pemimpin kanan gerakan Ikhwanul Muslimin dilaporkan meninggal dunia ketika sedang menjalani hukuman di penjara Mesir, kelmarin.
Mohamed Falahji, 58, yang juga bekas Ahli Parlimen Mesir dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya berikutan mendapat layanan buruk dan kurang mendapat rawatan perubatan.
Berdasarkan pemeriksaan kesihatan, beliau didapati menghidap penyakit buah pinggang dan mengalami jangkitan hempedu, namun dihantar semula ke penjara tanpa sebarang rawatan susulan.
Kematian beliau meningkatkan jumlah tahanan yang mati dalam penjara sejak penyingkiran bekas Presiden Mohamed Morsi pada Ogos 2013 kepada 265 orang.
Terdahulu, Falahji ditahan pada 26 Ogos 2013 atas dakwaan berkerjasama dengan pertubuhan pengganas, menyertai demonstrasi dan melancarkan keganasan. Beliau dihantar ke Penjara Jamasah, utara Mesir sebulan selepas penahanan.
Untuk rekod, pemimpin kanan gerakan Ikhwanul Muslimin, Farid Ismail juga meninggal dunia ketika sedang menjalani hukuman penjara.
Farid dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh mahkamah pada tahun lalu telah dipindahkan ke Hospital Penjara Aqrab di Tora, selatan ibu negara selepas beliau berada dalam keadaan koma. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan