Pertubuhan Islam gesa tingkat kawalan di masjid, sekolah Islam

masjid-polis-texas

Peronda polis mengawal sebuah masjid di Texas, di mana seorang anggota Persatuan Islam Utara Texas di Richardson, dipukul malam Isnin lalu.

DALLAS, 7 Mei – Sebuah pertubuhan penyokong Islam Amerika yang berpengaruh menggesa pihak berkuasa negara itu meningkatkan perlindungan terhadap masjid dan sekolah Islam ekoran insiden tembakan di Dallas, Ahad lalu.

Insiden itu telah mengorbankan dua lelaki yang membantah pertandingan melukis kartun Nabi Muhammad SAW anjuran kumpulan Inisiatif Mempertahan Kebebasan Amerika (AFDI).

Salah seorang anggota Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR), Zainab Chaudry berkata, pertubuhan itu bimbang ia mengundang tindak balas pihak tertentu.

“Semua rakyat Amerika, tanpa mengira agama, mempunyai hak untuk berasa selamat di sekolah dan di tempat- tempat ibadat mereka,” kata Zainab.

“Ancaman-ancaman yang amat membimbangkan dan kami menggesa pihak berkuasa untuk mengambil langkah segera untuk memastikan keselamatan pelajar-pelajar yang menghadiri sekolah Islam ini.”

AFDI yang menganjurkan pertandingan lukisan itu menyediakan hadiah AS$10,000 kepada sesiapa yang dapat melukis kartun Nabi Muhammad terbaik yang ditaja oleh blogger yang terkenal dengan sikap anti-Islam, Pamela Geller.

Kira-kira 200 orang hadir pada acara biadab itu termasuk ahli politik Belanda yang kerap menganjurkan kempen anti-Islam dan disenaraikan oleh Al-Qaeda sebagai orang yang dikehendaki, Geert Wilders.

Sementara itu, CAIR turut menggesa Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendedahkan laporan siasatan berhubung serangan ke atas seorang muslim di sebuah masjid di Texas, malam Isnin lalu.

Mangsa, yang juga anggota Persatuan Islam Utara Texas di Richardson, dipukul ketika keluar dari masjid selepas selesai menunaikan solat.

Menurut pihak polis, mangsa mengalami luka dan calar di atas matanya, hanya dirawat ditempat kejadian.

“Ia berlaku sangat cepat. Kita tidak tahu sama ada ia perbuatan anti-Islam atau cubaan merompak,” kata jurucakap polis Sarjan Kevin Perlich kepada Dallas News. – Agensi

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?