RMKe-11: Peluang ekonomi Bumiputera diperkukuh tingkat kekayaan
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Kerajaan akan memperkukuh peluang Komuniti Ekonomi Bumiputera meningkatkan pemilikan kekayaan menerusi lima strategi utama yang akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) 2016-2020 termasuk memperkasa modal insan Bumiputera.
Menurut RMK11 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat, hari ini, empat strategi lain adalah meningkatkan penguasaan efektif Bumiputera dan mengekalkan pemilikan korporat; memperluas syer pemilikan kekayaan Bumiputera; memperkasa Komuniti Ekonomi Bumiputera dan mengukuhkan keberkesanan penyampaian program berorientasikan Bumiputera.
Rancangan itu menyebut penyertaan Bumiputera dalam kategori pekerjaan berkemahiran tinggi disasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus menjelang 2020 melalui program peningkatan kemahiran Bumiputera.
Selain itu, rancangan lima tahun itu menggariskan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera dengan penguasaan berkesan dijangka meningkat kepada sekurang-kurangnya 30 peratus dalam tempoh RMKe-11.
Sementara itu, program pembiayaan usahawan akan dipergiat menyokong pelaksanaan program pembangunan usahawan secara efektif dan bersepadu.
Tumpuan akan diberi kepada industri yang mempunyai penyertaan usahawan Bumiputera yang besar termasuk automotif, pembinaan, aeroangkasa dan pertahanan, perkhidmatan perniagaan, pendidikan, penjagaan kesihatan serta minyak dan gas.
Menerusi rancangan itu, Program Bridging akan diperkenalkan mengumpul usahawan Bumiputera berwibawa meningkatkan mereka ke tahap seterusnya di samping memperkenalkan Program Baucar Pembangunan Perniagaan untuk menyediakan geran pemadanan.
Agensi pembangunan keusahawanan Bumiputera akan memperkukuh jalinan kerjasama dalam kalangan mereka melahirkan usahawan yang berjaya dan berdaya saing.
Di samping itu, perolehan dan kontrak kerajaan akan disusun semula mengurangkan kegiatan Ali Baba dan ‘spurious-front’ dan usaha ini akan termasuk memperkenalkan dasar graduasi atau dasar penamatan yang bersesuaian untuk mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan.
Dalam pada itu, menurut RMKe-11, dijangka sekurang-kurangnya 90 peratus isi rumah Bumiputera memiliki seunit kediaman dalam tempoh rancangan itu dan sebagai usaha membantu Bumiputera memiliki hartanah kediaman, lebih banyak rumah mampu milik akan dibina menggunakan sumber dana termasuk mekanisme tabung ‘clawback’.
Tabung ini merupakan sumbangan daripada pihak pemaju hartanah yang tidak mematuhi penetapan kuota Bumiputera dalam pembangunan hartanah. Jumlah sumbangan bersamaan dengan nilai diskaun unit kediaman Bumiputera yang dijual kepada bukan Bumiputera.
Selain itu, Dana Pusingan Hartanah Komersial Bumiputera akan ditubuhkan membantu usahawan untuk memperoleh hartanah komersial dan inisiatif ini akan membolehkan usahawan Bumiputera daripada menyewa kepada memiliki hartanah tersebut. – Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan