Senario yang bakal berlaku dalam pilihan raya Turki
Satu kaji selidik yang dijalankan oleh Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) meramalkan undian yang akan diperolehi oleh parti yang dipimpin oleh Recep Tayyib Erdogan itu sebanyak 45%.
Ia berkurangan sebanyak 5% berbanding jumlah undian yang diperolehi pada pilihan raya umum 2011 iaitu 50%. Jumlah ini sama dengan jumlah yang diperoleh dalam pilihan raya tempatan pada 30 Mac lalu.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pengurangan ini.
Kepimpinan AKP hari ini tidak sama dengan kepimpinan AKP 14 tahun lalu. Pengasas dan presiden parti, Erdogan telah diangkat menjadi Presiden negara. Menteri Luar, Ahmed Davutoglu pula diangkat oleh parti menjadi Perdana Menteri bagi memimpin kerajaan. Barisan kepimpinan parti juga berganti dengan muka-muka baharu dalam jumlah yang agak ramai.
Beginilah perubahan dan pembaharuan kepimpinan parti yang berjalan lancar tanpa sebarang keretakan dan perpecahan saf. Ia membuktikan keteguhan dan kekuatan binaan parti.
Tambahan pula muka-muka lama kepimpinan parti tidak dibenarkan masuk di dalam senarai calon pilihan raya sebagai menuruti undang-undang parti yang tidak membenarkan mana-mana ahli bertanding sebanyak tiga kali berturut-turut.
Undang-undang itu dicipta semenjak awal penubuhan parti bagi mengelakkan monopoli jawatan berlaku bagi sesetengah individu dan bagi membuka ruang bagi pemimpin baru memikul tanggungjawab kepimpinan.
Pelaksanaan kepada undang-undang ini dilihat sebagai salah satu faktor kepada pengurangan undian dan sokongan awam.
Pertama kali dalam sejarah parti AKP memasuki pilihan raya tanpa kewujudan Erdogan dan pemimpin-pemimpin besar yang lain seperti Timbalan Perdana Menteri sekarang Bulen Arinje, bekas Menteri Pengangkutan dan Perhubungan Binali Yaldrim, bekas Menteri Keadilan Muhammad Syahin dan Ketua Parlimen sekarang, Jamil Jijak.
Pilihan raya kali ini menjadi ujian sebenar bagi kepimpinan Ahmed Davutoglu ke atas parti itu dan menguji sejauh mana perubahan dalaman parti diterima oleh pelbagai pihak termasuk para pengundi. Ia juga adalah peluang bagi Davutoglu untuk membuktikan kepimpinannya di peringkat parti dan negara.
Faktor lain yang memberi kesan terhadap AKP ialah pakatan pembangkang yang berterusan menentang dan merancang pelbagai usaha untuk melemahkannya.
Hakikatnya, perkara yang menyatukan parti-parti pembangkang ini ialah permusuhan mereka terhadap Erdogan dan parti AKP.
Davutoglu pernah berkata bahawa partinya kini berhadapan dengan tiga parti pembangkang yang berdaftar iaitu Parti Rakyat Republik, Parti Gerakan Perkauman dan Parti Rakyat Demokratik (yang melibatkan perkauman Kurdi).
Davitoglu juga berkata AKP turut berhadapan dengan tiga gerakan terrorisme iaitu Parti Pekerja Kurdistan (PKK), Gerakan Pembebasan Revolusi Rakyat (berhaluan kiri yang melampau) dan gerakan Entiti Sehaluan yang aktif dalam institusi-institusi kerajaan dan juga memiliki susunan media yang kuat.
Melalui media ini, mereka menyerang Erdogan dan AKP dengan peluru-peluru yang sangat kuat.
Terdapat beberapa fakta penting dalam mengenali lebih mendalam musuh-musuh AKP yang memberi kesan terhadap pengurangan undi untuk AKP.
Antara fakta yang penting untuk diberi perhatian ialah Parti Rakyat Demokratik dan gerakan PKK saling berkait antara satu sama lain.
PKK adalah sayap bersenjata bagi Parti Rakyat Demokratik manakala Parti Rakyat Demokratik pula membawa sayap politik yang membawa suara PKK dalam medan politik.
PKK, sebuah gerakan bersenjata dan menggunakan pendekatan keganasan, menggunakan kekerasan terhadap pengundi supaya mengundi Parti Rakyat Demokratik terutamanya di kawasan-kawasan selatan dan timur Turki.
Mereka juga mengugut dan menakut-nakutkan pekerja pejabat calon parti AKP dan calon AKP itu sendiri, meskipun keselamatan awam sepanjang masa khususnya sewaktu pilihan raya berlangsung dijamin oleh pihak berkuasa.
Gerakan Pembebasan Revolusi Rakyat yang juga menggunakan kekerasan, adalah gerakan kiri yang bergerak seawal tahun 70an. Ia kerap menjalankan operasinya dalam satu-satu tempoh.
Ia menjalankan operasi keganasan, memprovokasi untuk mengganggu kelancaran proses pilihan raya.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, gerakan itu telah membunuh Pendakwa Raya kerajaan di Istanbul. Ia juga telah melakukan serangan ke atas pejabat-pejabat AKP dan beberapa pejabat Parti Rakyat Demokratik bagi mencetuskan fitnah dan pergaduhan antara parti dan mengganggu kestabilan negara.
Gerakan Entiti Sehaluan pula dilihat hanya memberi kesan terhad kepada AKP.
Selain itu, fitnah dan tuduhan palsu yang dilemparkan turut memberi kesan negatif terhadap AKP.
Sebahagian besar tuduhan itu adalah bohong dan ada tuduhan yang amat berlebihan, di samping ada juga tuduhan yang memang benar berlaku.
Sejak memerintah, AKP mengangkat slogan ‘memerangi kerosakan’ tetapi nampaknya kempen itu masih tidak berjaya menghentikan kerosakan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap parti itu.
Oleh itu, slogan ini perlu diteruskan untuk tempoh berikutnya lebih kesungguhan berlipat kali ganda.
Para pengundi juga terpengaruh dengan janji pihak pembangkang dalam aspek pembangunan ekonomi yang menarik minat untuk pembaharuan.
Pembangkang menggunakan strategi ‘akal’ apabila menumpukan untuk bercakap dalam soal projek pembangunan dan janji-janji dalam ekonomi dan kurang berbicara soal ideologi dan jati diri.
Dalam tempoh dua minggu sebelum pilihan raya, Parti Rakyat Republik membentang manifesto pilihan raya bertajuk ‘Pusat Turki’. Manifesto itu mencadangkan Turki menjadi markaz penghasilan barangan dan pemasaran pada 20 tahun akan datang, sesuai dengan kedudukan geografinya, dengan kos puluhan juta dolar.
Hakikatnya, parti-parti bertumpu kepada projek-projek pembangunan dan janji-janji manis, dan ia telah mengurangkan pertembungan ideologi dalam negara.
3 senario yang boleh berlaku selepas 7 Jun nanti:
Senario Pertama:
AKP akan mendapat undian tertinggi dengan penguasaan ke atas lebih 330 kerusi Parlimen, yang membolehkannya membentuk kerajaan kuat bersendirian, meminda perlembagaan dan menetapkan sistem kuasa presiden.
Keadaan ini berlaku jika AKP mendapat lebih 50% jumlah undian, atau mendapat kurang 50% dalam keadaan kegagalan Parti Rakyat Demokratik mendapat undi 10%.
AKP adalah parti yang paling beruntung jika Parti Rakyat Demokratik gagal mendapat undi lebih 10%.
Kaji selidik menunjukkan kemungkinan senario ini akan berlaku apabila AKP mendapat undi kira-kira 45% manakala Parti Rakyat Demokratik mendapat undi antara 9.5% hingga 10%.
Senario Kedua:
AKP mendapat lebih 275 kerusi tetapi kurang daripada 330 kerusi. Keadaan ini juga membolehkannya membentuk kerajaan bersendirian sama ada Parti Rakyat Demokratik masuk ke Parlimen atau tidak.
Peluang untuk senario kedua ini lebih besar dan lebih tepat untuk situasi politik semasa.
Ketika ini, sebarang pindaan perlembagaan akan dielakkan dan sistem kuasa presiden juga akan dikekalkan. Kebanyakan parti akan menolak sistem kuasa presiden dan mahu sistem parlimen dikekalkan bersama penambahbaikan.
Sementara itu, Ahmed Davutoglu tidak akan mengekalkan sistem kuasa presiden, sebaliknya akan menguatkan salah satu antara sistem kuasa presiden dan kuasa parlimen bagi mengelakkan pertembungan kuasa antara presiden dan menteri-menteri.
Mungkin juga Davutoglu akan menguatkan sistem parlimen bagi menjadikannya Perdana Menteri yang lebih kuat dalam kerajaan baharu.
Senario Ketiga:
Senario ini adalah yang paling jauh daripada realiti, iaitu tiada mana-mana parti termasuk AKP mendapat bilangan kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Dalam keadaan ini, AKP tidak mampu membentuk kerajaan campuran dengan parti-parti lain kerana terdapat perbezaan besar di antara agenda dan perjuangan mereka.
Begitu juga parti-parti pembangkang lain tidak akan mampu membentuk kerajaan campuran sesama mereka. Ini kerana wujud perbezaan yang amat ketara antara mereka walaupun musuh mereka adalah sama iaitu AKP.
Mustahil parti berteraskan perkauman Turki mampu duduk semeja bersama parti berteraskan perkauman Kurdi dalam satu kerajaan.
Dalam keadaan ini, AKP akan lebih cenderung kepada diadakan pilihan raya semula, dan kebarangkalian ini adalah yang paling lemah.
Umumnya, pengundi-pengundi Turki berbeza-beza mengikut haluan politik masing-masing, mungkin dia marah dan terganggu dengan sikap parti-parti yang bertanding, tetapi pada akhirnya mereka akan mengundi dengan akal dan perasaan.
Ditulis oleh Oktay Yalmiz,
Diterjemah oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin
Ulasan
Catat Ulasan