SIS tarik diri saat akhir debat dengan Wanita ISMA
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 8 Mei – Hanya beberapa jam sebelum debat anjuran Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) bermula, Sisters in Islam (SIS), pertubuhan yang difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, memaklumkan menarik diri.
Ketua Wanita ISMA, Ustazah Norsaleha Mohd Salleh, melahirkan kekecewaan kerana tindakan SIS ini amat tidak profesional.
“Walaupun terdapat perubahan format, Wanita ISMA tetap memenuhi syarat yang dikenakan SIS dan sudah bersedia untuk berdialog dengan mereka.
“Semua persiapan telah diaturkan, dari segi tempat, kewangan, makanan dan tenaga.
“Tapi di saat akhir mereka tarik diri. Saya kira mereka tidak sanggup bersemuka dengan Wanita ISMA bagi membahaskan isu-isu feminisme,” tegasnya kepada wartawan Ismaweb.
Wanita ISMA dan SIS dijadual berdebat malam ini dengan tajuk “Adakah undang-undang Syariah berat sebelah terhadap lelaki dan perlukah kita kepada interpretasi wanita?”
Forum itu sepatutnya berlangsung jam 8.30 malam ini di Dewan Puri Pujangga 4, UKM Bangi.
Forum tertutup ini adalah sebahagian daripada atur cara seminggu yang dianjurkan oleh Wanita ISMA dalam kempen kesedaran feminisme dan dalam menghulurkan pelawaan berdialog secara rasional.
Wakil ISMA terdiri daripada Ketua Penerangan Wanita ISMA, Dr Rafidah Hanim Mokhtar dan aktivis Wanita ISMA, Dr Fatimah Zaharah Rosli.
SIS pula sepatutnya diwakili Pengarah Eksekutifnya, Ratna Osman dan pegawai penyelidik yang juga pembantu pengurus SIS, Mohammad Afiq Mohamad Noor.
Sebelum itu, tokoh debat antarabangsa The Muslim Debate Initiative (MDI), Zara Huda Faris dijadual turut serta dalam debat berkenaan tetapi ditolak oleh SIS.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan