Sokong wakil rakyat wajib masuk kursus bahasa Melayu
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 6 Mei – Penganalisis Politik, Dr Salawati Mat Basir menyokong gesaan supaya semua wakil rakyat pada peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak fasih berbahasa Melayu diwajibkan mengikuti kursus.
Beliau berkata, mana-mana individu yang mahu menjadi pemimpin, sepatutnya boleh bertutur dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan baik.
“Sebabnya, lucu bila kita dengar ada wakil rakyat yang tergagap-gagap bila bercakap dalam bahasa Melayu. Ini kerana mereka menjadi wakil rakyat bukan untuk kaum mereka sahaja, tetapi untuk semua kaum.
“Tambahan pula, majoriti negara kita adalah berbangsa Melayu dan Bahasa Melayu itu sendiri adalah bahasa rasmi negara.
“Jadi mewajibkan syarat untuk menjadi wakil rakyat mestilah fasih berbahasa Melayu adalah sangat relevan,” katanya ketika dihubungi wartawan Ismaweb.
Beliau mengulas gesaan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman agar semua wakil rakyat yang tidak fasih berbahasa Melayu perlu diwajibkan mengikuti kursus bahasa.
Dr Salawati yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang UKM berkata, sepatutnya dari dulu lagi perkara ini dititikberatkan.
“Tidak kira bangsa apapun wakil rakyat tersebut. Ia menjadi satu bonus kalau mereka benar-benar fasih bercakap dan menulis dalam bahasa Melayu dengan baik,” ujarnya.
Sebelum ini, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah pernah mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya mensyaratkan individu yang mahu menjadi wakil rakyat di peringkat Parlimen atau DUN mestilah sekurang-kurangnya mendapat kepujian (kredit) bahasa Melayu dalam SPM.
Ini berikutan katanya, masih terdapat ahli Parlimen yang tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik iaitu masih menggunakan sebutan perkataan melucukan seperti kata-kata ‘lu’ (kamu), ‘terbulu-bulu’ (terburu-buru) dan ‘laja’ (raja).
BERITA BERKAITAN:
1. Ucapan wakil rakyat DAP dalam bahasa Melayu jadi bahan jenaka
2. ‘Bulung-bulung pun telebang di angkasee…’
3. Sokong wakil rakyat mesti fasih bahasa Melayu
4. Wakil rakyat tak fasih cakap Melayu wajib ambil kursus: ISMA
Ulasan
Catat Ulasan