Tabung Haji beli tanah milik 1MDB
BANGI, 7 Mei – Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan membeli sebidang tanah pada harga diskaun RM188.5 juta dalam projek wilayah kewangan Tun Razak Exchange (TRX) yang dibangunkan oleh syarikat pelaburan negara, 1MDB.
TRX, projek baru merangkumi pembangunan 70 ekar hartanah di tengah-tengah Kuala Lumpur bakal dijadikan pusat komersial dan kewangan antarabangsa.
Timbalan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH, Datuk Johan Abdullah, berkata TH membuat pembelian hartanah itu sebagai pelaburan untuk membangunkan kediaman di TRX.
Menurut beliau, ia sejajar dengan strategi pelaburan hartanah TH yang menumpukan kepada sektor domestik.
“Pelaburan ini merupakan keputusan komersial yang menepati selera risiko dan telah melalui semua proses penilaian dalaman yang teliti.
“Pembelian hartanah pada harga RM188.5 juta itu adalah pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa dan telah dinilai oleh sebuah badan penilai bebas profesional,” kata Johan dalam satu kenyataan kepada media.
Kenyataan itu dikeluarkan berikutan laporan media sosial mengatakan Tabung Haji menggunakan wang simpanan ahlinya untuk membeli tanah itu bagi membantu 1MDB yang dikatakan menghadapi masalah kewangan.
Johan berkata, cadangan pembangunan kediaman tersebut akan dibangunkan oleh anak syarikat TH, TH Properties Sdn Bhd, yang dijangka memberi pulangan positif kepada kumpulan pada masa hadapan.
Dalam kenyataan tersebut, Johan turut menafikan pihaknya membeli Signature Tower (Fasa 2) di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) seperti yang dilaporkan dalam blog-blog tertentu.
“Kebocoran maklumat melalui kertas cadangan tidak boleh dijadikan sebagai bukti keputusan muktamad pelaburan tersebut,” ujarnya.
Menurut laman web 1MDB, TRX merupakan projek pembangunan terbaharu yang sedang diusahakan pihaknya.
Pelan induk TRX merangkumi pembinaan 25 bangunan dan lebih 21 juta kaki persegi jumlah keseluruhan lantai yang antara lain membabitkan pejabat, kediaman dan hotel serta restoran.
TRX bakal mengambil masa 15 tahun untuk menyiapkan keseluruhan projek itu mengikut fasa di mana fasa pertama dijangka siap pada 2017 atau 2018.
Pada Jun tahun lalu, 1MDB melantik sebuah syarikat hartanah dan pembinaan antarabangsa, Lend Lease, sebagai rakan pelabur utama bagi fasa pertama membangunkan TRX.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan