Ternakan babi himpit kehidupan penduduk Tanjung Sepat
Oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin
KUALA LANGAT, Rabu – Rata-rata penduduk Kampung Tanjung Sepat Darat menyatakan bahawa mereka tidak sanggup untuk menunggu tiga tahun lagi sehingga projek kandang babi moden ‘Modern Pig Farming (MPF)’ disiapkan pada tahun 2018.
Ini kerana derita yang dialami sejak puluhan tahun lalu masih berlaku dan mengganggu kehidupan harian mereka.
“Kebersihan memang tak dijaga. Penternak tak beri kerjasama. Dia kira keuntungan dia. Air najis babi dialir masuk ke parit dan seterusnya ke laut.
“Air menitis dari lori yang bawa babi. Mengganggu pengguna jalan raya. Ini belum dikira dengan bau busuk yang kami hidu setiap hari,” kata seorang penduduk, Amir Sharifudin Abdul Rahman, 53, kepada ISMAweb hari ini.
Seorang lagi penduduk, Juwita Miswan, 43, meluahkan perasaan sama sambil menyifatkan 128 orang pemilik kandang-kandang babi sebagai pengotor dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam.
“Kalau boleh tutup terus kandang-kandang babi tu. Biar mereka import dari luar negara sahaja. Inikan kawasan majoriti Melayu, Islam.
“Awak pergi tengok sendiri air najis babi disalurkan ke laut. Laut jadi kotor. Ikan yang kita makan macam mana?
“Tak payah la buat di sini. Buat (kandang) di tempat jauh-jauh,” katanya.
Untuk rekod, dalam Mesyuarat Ketiga Sidang Dewan Negeri Selangor yang ke-13 pada 1 Disember 2014, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Zaidi Abdul Talib (ADUN Taman Templer) berkata semua penternakan babi di Tanjung Sepat akan dijalankan secara moden sebagai langkah penyelesaian masalah pencemaran yang sering mengganggu penduduk.
Sehubungan itu, sebuah projek kandang babi moden akan dibangunkan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun 2015 sehingga tahun 2018.
“Untuk pengetahuan Dewan, dan seluruh yang mendengar, Kerajaan Negeri Selangor telah pun mewujudkan satu term of reference, berkenaan Modern Pig Farming yang akan diadakan di sekitar padang Tumbuk, Mukim Batu, Kuala Langat.
“Seramai 132 penternak dan 137 ladang telah pun dikenal pasti,” katanya.
Apabila disoal berkenaan projek kandang babi moden ini, rata-rata penduduk bersetuju dengan syarat ia dibina di tapak yang jauh daripada tempat tinggal penduduk.
“Pada zaman Khir Toyo, ketua kampung dibawa ke Jerman untuk melihat teknologi kandang babi moden. Tapi jaraknya mengambil masa perjalanan selama lapan jam untuk sampai ke kandang itu daripada penempatan penduduk.
“Berbeza dengan projek di Kampung Tumbuk ini. Lima minit sahaja (perjalanannya). Kerajaan nak buat bersebelahan tanah perkuburan umat Islam. Ini yang kita bantah. Kalau nak buat, buatlah jauh-jauh,” kata seorang penduduk yang tidak mahu namanya direkod.
PENCEMARAN TERUK
Tinjauan ISMAweb mendapati, kandang-kandang babi di sekitar Kampung Tumbuk, Kampung Batu Laut dan Kampung Batu Untung memang menjadi faktor utama pencemaran udara dan air.
Selain kandang yang kotor, binaan luarannya juga melambangkan sikap sambil lewa pihak penternak terhadap kebersihan dan sensitiviti penduduk setempat.
Bau yang sangat busuk menusuk hidung sesiapa yang tinggal di kawasan sekitar lebih-lebih lagi apabila angin pantai bertiup kencang.
Kandang-kandang juga kelihatan bersepah-sepah di celah-celah kebun kelapa sawit.
Pihak penternak menggunakan saluran parit untuk mengalirkan air sisa dan najis babi keluar dari kandang, lalu menyebabkan parit menjadi hitam pekat dan berbau busuk.
SIKAP TAK BERTANGGUNGJAWAB PEMILIK KANDANG
Ketika melawat lokasi kandang-kandang babi, ISMAweb bertemu seorang penduduk yang mengadu sikap tak bertanggungjawab penternak yang membuang sisa najis babi di ladang sawit milik penduduk yang dilihat sendiri olehnya.
Najis kering babi dimasukkan ke dalam guni lalu diangkut menggunakan lori dan dibuang di ladang sawit.
Najis dalam guni itu lama kelamaan akan menerbitkan bau busuk dan ditiup angin ke kawasan penduduk.
“Ini buktinya,” kata penduduk itu sambil menunjukkan gambar di telefon pintar tanpa mendedahkan namanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan