Tiada fatwa isu TH beli tanah 1MDB dikeluarkan: Dr MAZA
BANGI, 11 Mei – Majlis Fatwa Kebangsaan yang turut dianggotai oleh semua mufti negeri dan alim ulama tidak pernah membincangkan isu pembelian tanah 1MDB oleh Tabung Haji (TH).
Mengulas dalam kiriman Facebooknya malam tadi, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata tiada apa-apa mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai pelaburan 1MDB.
“Sejak saya memegang jawatan Mufti Negeri Perlis dan ahli jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bermula pada 1 Februari lepas, saya tidak pernah hadir dan tiada apa-apa mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan tentang pelaburan 1MDB.
“Itu sahaja yang dapat saya beritahu kepada pihak-pihak yang email saya tentang hal ini,” katanya mengulas kenyataan Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengatakan Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan pembelian tanah 1MDB oleh TH menepati syariah.
Beberapa hari lalu, satu dokumen yang dikatakan ‘sulit’ mengenai perjanjian pembelian sebidang tanah antara TH dan 1MDB didedahkan oleh sebuah laman blog menyebabkan pihak pengurusan TH membuat laporan polis.
Selepas mendapat maklum balas negatif dari pelbagai pihak, TH selepas mendapat nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi 1MDB, membuat keputusan untuk menjual semula sebidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli daripada 1MDB dengan harga RM188.5 juta.
Keanggotaan beberapa pegawai atasan TH di dalam 1MDB juga dilihat boleh menimbulkan konflik kepentingan dalam membuat keputusan berkaitan urusan perjanjian perniagaan kedua-dua agensi itu.
Berikutan itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), sebuah pertubuhan Islam sederhana, mendesak tiga pengarah kanan TH yang juga menduduki kerusi dalam 1MDB, supaya melepaskan salah satu daripada jawatan berkenaan.
Naib Presiden ISMA, Abdul Rahman Md Dali, berharap tiga pegawai atasan TH yang dilaporkan memegang jawatan di dalam 1MDB, melepaskan salah satu jawatan itu bagi mengelakkan timbul konflik kepentingan.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan