‘Tiada istilah hak mutlak individu’
Oleh Suzaimi Johari
BANGI, 5 Mei – “Istilah hak mutlak pada individu tidak wujud melainkan semuanya milik Allah termasuk roh dan tubuh kita sendiri,” kata tokoh debat antarabangsa The Muslim Debate Initiative (MDI), Zara Huda Faris.
Beliau berkata, dalam isu pemakaian hijab, golongan feminis menafikan hak menutup aurat di bahagian atas dengan memberi alasan ianya adalah hak dan urusan individu.
Menjawab soalan mengenai dakwaan feminis yang membawa seruan kebebasan, beliau berkata:
“Dalam pemakaian hijab, Feminis menafikan hak menutup aurat atas alasan urusan individu. Tiada halangan jika tidak berbuat demikian.
“Begitu juga hak perwarisan, mereka membandingkan bahagian harta yang diberikan kepada lelaki dan perempuan. Walhal Islam telah meletakkan hak yang seimbang pada kedua-dua jantina.”
“Oleh itu sebagai wanita Islam, respons kepada dakwaan feminisme ini perlu bijak, bukan meleret dan tiada unsur emosi untuk membalas serangan mereka,” katanya pada seminar mengenai feminisme di sini, kelmarin.
Ini adalah kali pertama Zara Huda datang ke Malaysia. Beliau akan menyertai persidangan IMEC, Sabtu ini dan akan menyampaikan syarahan bertajuk ‘Feminism: Heroin(e) of the Masses’.
Persidangan sehari suntuk itu dianjurkan oleh Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Wanita ISMA) dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan The Muslim Debate Initiative Blog (MDI).
Seorang peserta yang juga ibu kepada 14 anak, Puan Fariza Ibrahim, 50, berkata, golongan gadis perlu mengambil tahu ideologi feminisme ini supaya tidak terpengaruh.
“Saya rasa bertuah kerana bukan sahaja didedahkan mengenai gerakan feminis di seluruh dunia, malah Wanita ISMA mampu menganjurkan program bertaraf antarabangsa seperti International Muslimah Empowerment Conference pada 9 Mei nanti,” katanya
Seminar kelmarin dikendalikan oleh Dr Fatimah Zaharah Rosli. Turut serta ialah Asadullah Ali Al Andalusi, pendebat dari MDI, United Kingdom.
Asadullah Ali Al Andalusi juga antara panel yang akan menyampaikan syarahan bertajuk ‘Still Colonised? Liberalism in Muslim Thought’ pada 9 Mei ini di Hotel De Palma Ampang.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan