‘Tiba masa lahirkan pemimpin muda berintegriti ganti orang tua’
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 11 Mei – Sudah sampai masanya negara memainkan peranan ke arah melahirkan pemimpin muda masa depan yang lebih berintegriti.
Menyuarakan pendapat itu, Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), sebuah pertubuhan Islam sederhana, Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad, berkata Malaysia kini dilanda isu kepemimpinan yang agak kritikal.
“Nilai integriti dalam setiap kepemimpinan negara kini sudah semakin terhakis.
“Rakyat sudah mula hilang kepercayaan terhadap kerajaan atas satu demi satu ketirisan yang berlaku.
“Untuk mengubah pemimpin tua yang korup pastinya jauh lebih sukar. Lantas jalan penyelesaian yang lebih efektif pada waktu ini adalah melahirkan generasi pemimpin masa depan yang lebih berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan kepada Ismaweb, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kontroversi berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang turut mengaitkan Lembaga Tabung Haji (TH).
Lukman berkata, melihat pada perkembangan semasa, mahu tidak mahu perubahan harus berlaku.
“Cabarannya ialah sistem politik dan sosial sedia ada hanya akan melahirkan pimpinan muda yang serupa nilainya.
“Ia hanya mampu dibentuk oleh tarbiah Islamiyah. Ini kerana integriti yang ditunjukkan oleh negara-negara Barat yang maju hanyalah bertopengkan ‘good governance’ semata-mata.
“Sebaliknya integriti dalam Islam melangkaui batas tersebut kerana ia bertunjangkan akidah dan ‘believe system’ yang lebih mendasar,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan