Tun Dr M dan Najib ‘berbincang’ di Jepun?
BANGI, Rabu – Tun Dr Mahathir Mohamad, yang lantang menyerang Perdana Menteri, khususnya dalam isu Altantuya dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kini dilaporkan berada di Jepun, yang secara kebetulan Datuk Seri Najib Razak juga masih berada di negara itu.
Bekas Perdana Menteri itu dilaporkan pergi ke negara itu untuk menerima rawatan susulan pembedahan mata beliau baru-baru ini.
Najib pula sudah masuk hari ketiga berada di Tokyo dalam kerangka lawatan rasmi ke negara Matahari Terbit itu.
Keberadaan kedua-dua pemimpin di negara itu mewujudkan spekulasi sama ada mereka akan mengadakan pertemuan ekoran ‘pertelagahan’ mereka sejak akhir-akhir ini yang semakin meruncing.
“Salah seorang penasihat PM bila ditanya (perkara itu), berkata beliau tidak tahu sama ada kedua-dua pemimpin itu akan bertemu di negara Matahari Terbit itu,” kata penulis blog terkenal Datuk Ahirudin Attan atau lebih dikenali sebagai ‘Datuk Rocky’.
“Kenapa saya tanya? Semalam saya diingatkan bulan ini pada tahun 2006, kedua-dua Tun dan Abdullah Badawi selaku Perdana Menteri ketika itu, juga di Tokyo.
“Mereka tidak mempunyai hubungan baik, juga, dan mereka telah bertemu secara ringkas,” katanya dalam tulisan terbaru di rockybru.com.
Beliau turut memetik kata-kata Dr Mahathir ketika pertemuan dengan Pak Lah pada 2006 itu yang menyebut;
“Saya tidak menyuruh dia (Pak Lah) untuk datang berjumpa saya. Sebagai tanda persahabatan, sekadar saling mengucap selamat”.
Bagaimanapun menurut Rocky, beliau tidak yakin Tun Dr Mahathir dan Najib akan bertemu kerana kedua-dua mereka sibuk dengan urusan masing-masing.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan