Tweet untuk mati syahid sebelum ditembak
DALLAS, 6 Mei – Salah seorang lelaki yang membantah pertandingan melukis kartun Nabi Muhammad SAW di Dallas, Ahad lalu, anjuran kumpulan anti-Islam sempat menulis agar mendapat mati syahid sebelum dia ditembak mati.
Suspek yang disahkan oleh sumber pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) sebagai Elton Simpson, meninggalkan pesanan itu di akaun twitter sebelum bertindak.
“Semoga Allah menerima kami sebagai pejuang agama,” tulisan terakhir beliau dipetik.
Pihak berkuasa bagaimanapun belum mengeluarkan kenyataan rasmi kaitan mesej itu dengan kumpulan militan IS.
Simson ditembak bersama rakannya, Nadir Soofi selepas kedua-duanya melepaskan tembakan di tempat letak kereta di luar Pusat Curtis Culwell di pinggir Garland di timur laut Dallas ketika pertandingan melukis kartun Nabi Muhammad SAW anjuran kumpulan Inisiatif Mempertahan Kebebasan Amerika (AFDI) diadakan.
Pertandingan dan pameran itu yang menyediakan hadiah AS$10,000 kepada sesiapa yang dapat melukis kartun Nabi Muhammad terbaik ditaja oleh blogger yang terkenal dengan sikap anti-Islam, Pamela Geller.
Kira-kira 200 orang hadir pada acara biadab itu termasuk ahli politik Belanda yang kerap menganjurkan kempen anti-Islam dan disenaraikan oleh Al-Qaeda sebagai orang yang dikehendaki, Geert Wilders.
Sementara itu, penganjuran pertandingan turut dikecam oleh ulama Islam yang menyifatkannya sebagai usaha berterusan membenci Islam.
Penasihat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Omur Orhun, berkata AS perlu mengambil pengajaran untuk mengakhiri sikap prasangka dan menghina agama Islam.
“Kami menggesa pihak berkuasa Amerika untuk mengambil langkah bagi menamatkan sikap prasangka, tidak bertolak-ansur dan kebencian terhadap umat Islam.
“Kami juga kesal dan mengutuk pameran dan pertandingan melukis kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW, ,” katanya kepada Gulf News sambil menambah pihaknya turut mengutuk serangan itu.
Sebelum ini, kartun serupa telah mencetuskan kemarahan dan bantahan umat Islam termasuk karikatur yang disiarkan dalam akhbar mingguan Perancis, Charlie Hebdo.
Pejabat akhbar yang berpengkalan di Paris itu turut diserang pada Januari lalu sehingga meragut 12 nyawa. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan