Umat Islam diserang ancaman ideologi jahiliyah
Oleh Muhamad Fakhrul Radzi Muhamad Pikri
KOTA SAMARAHAN, Khamis – Umat Islam kini berdepan dengan cabaran ancaman pemikiran jahiliyah yang dipelopori oleh Barat dan sekutunya.
Ideologi seperti liberalisme, pluralisme dan sekularisme pada hakikatnya bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.
Ketua Unit Kajian dan Perbandingan Agama ISMA Ustaz Shaharuzzaman Bistamam berkata, serangan pemikiran ini perlu dihadapi bersungguh-sungguh dengan ilmu dan penguatkuasaan oleh pihak berautoriti.
Beliau yang juga Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS) berkata demikian dalam ceramahnya di Masjid Nurul Iman, Kampung Pinang, Kota Samarahan baru-baru ini.
Selain menolak pemikiran jahiliyah Barat, Ustaz Shaharuzzaman turut menjelaskan Rasulullah SAW telah mewariskan al-Quran dan as-Sunnah kepada umat manusia sebagai panduan utama kehidupan sehingga ke hari kiamat.
“Kita haruslah mengikut haluan yang sebenar seperti mana yang telah dilakukan oleh para nabi dan para sahabat. Sememangnya, agama itu datang dari Allah dan bukan ciptaan para Nabi. Para Nabi telah diamanahkan untuk menyebarkan agama Allah bagi mentauhidkan Allah,” katanya.
Menurutnya manusia diberi pilihan untuk memilih yang baik dan buruk dalam kehidupan mereka dan beruntunglah bagi mereka yang memilih kebenaran berbanding kesesatan.
Tambahnya lagi kufur adalah jahil yang sebenarnya. Kekufuran ini jua telah mencatatkan sejarah Firaun yang telah dibinasakan oleh Allah akibat keingkarannya untuk kembali pada Allah.
Oleh kerana itu, menjadi kewajipan ibu bapa bagi mencorak dan mendidik anak-anak dalam acuan Islam agar tidak mengikut jejak langkah orang-orang zaman terdahulu seperti Firaun.
Turut hadir ke program ini ialah YDP ISMA Samarahan Ustaz Abdul Rahman Ismail dan Ketua Biro Dakwah ISMA Samarahan Mohammed Rasheedan Ellin.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan