Umno Kelantan bidas penganjur jemput Kit Siang hina hudud
BANGI, Khamis – Umno Kelantan membidas PAS Kota Bharu yang menjemput pemimpin DAP, Lim Kit Siang berucap untuk menghina pelaksanaan undang-undang hudud di negeri ini.
Ketua Penerangannya Datuk Md Alwi Che Ahmad dipetik Bernama berkata, tindakan itu bukan sahaja keterlaluan, malah menghina rakyat Kelantan secara keseluruhan.
“Saya salah seorang daripada mereka yang menyokong hudud (apabila perkara itu dibentangkan) di dalam Dewan Undangan Negeri.
“Saya menganggap perbuatan itu sebagai satu penghinaan,” katanya pada satu majlis yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) semalam.
Beliau mengulas penganjuran ceramah oleh PAS Kota Bharu kelmarin yang menyaksikan pemimpin rasis DAP, Lim Kit Siang menghina pelaksanaan hudud di Kelantan secara terbuka di pentas PAS.
Turut hadir pada ceramah itu ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli dan Pesuruhjaya PAS Kota Bharu, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah.
Sementara itu, PAS Kelantan akan memanggil PAS Kota Bharu bagi mendapatkan penjelasan berhubung penganjuran ceramah yang menimbulkan polemik baru itu.
Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa PAS negeri kelmarin.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan