Wakil rakyat mesti menguasai Bahasa Melayu
SAYA berpendirian bahawa rakyat Malaysia tidak kira apa pun pekerjaannya, agama mahupun bangsanya hendaklah menguasai bahasa Melayu kerana bahasa Melayu merupakan bahasa negara Malaysia.
Hakikatnya, ramai dalam kalangan kita yang tidak menguasai bahasa Melayu walaupun hidup berpuluh-puluh tahun lamanya di Malaysia.
Lebih parah lagi, bahasa Melayu mengharapkan belas ihsan dan simpati daripada rakyatnya sendiri untuk berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan bahasa negara lain.
Semua ini berlaku kerana rakyat Malaysia tidak cukup mencintai bahasa Melayu sehinggakan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi hanya sekadar di atas kertas.
Peranan wakil rakyat sangat besar dan tidak perlulah saya huraikan satu persatu. Dalam konteks bahasa Melayu, wakil rakyat semestinya menguasai bahasa tersebut.
Ini juga bermakna, mereka hendaklah sentiasa mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Melayu walau di mana sahaja berada… bukan hanya dalam persidangan DUN mahupun Dewan Rakyat.
Wakil rakyat yang tidak fasih berbahasa Melayu seharusnya diketepikan daripada menjadi wakil rakyat atau calon wakil rakyat. Jika bahasa kebangsaan negara ini pun tidak dapat mereka kuasai mana mungkin mereka diangkat sebagai wakil antara kerajaan dengan rakyat.
Sudah sampainya kita mendahulukan orang yang menyanjung tinggi bahasa Melayu dalam apa jua pelantikan jika mahu bahasa Melayu terus berkembang.
Mereka yang tidak fasih bahasa Melayu jika dilantik menjadi wakil rakyat akan terus meminggirkan bahasa ini dengan memberikan pelbagai alasan dan mengangkat bahasa lain sebagai bahasa komunikasi.
Memang benar bahasa lain juga penting tetapi janganlah sampai kita menganaktirikan bahasa sendiri.
Bagi wakil rakyat sedia ada atau calon wakil rakyat yang berhasrat untuk menjadi wakil rakyat sewajarnya mereka perlu melepasi syarat asas, iaitu hendaklah menguasai bahasa Melayu.
Justeru, wakil rakyat yang masih belum menguasai bahasa Melayu hendaklah mengikuti Ujian Kecekapan Bahasa Melayu (UKBM).
Instrumen ini telah dihasilkan oleh penyelidik daripada Fakulti Pengajian Pendidikan dan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi. Ia merupakan instrumen pertama di Malaysia yang menguji kecekapan seseorang itu berdasarkan 4 kemahiran, iaitu kemahiran mendengar, membaca, menulis dan bertutur.
Pada masa kini, instrumen ini telah digunakan oleh pihak KPM untuk menguji guru bukan opsyen bahasa Melayu.
Sehubungan itu, saya menyokong penuh jika calon wakil rakyat dan wakil rakyat yang ada diuji tahap penguasaan bahasa Melayu mereka.
Hanya yang melepasi tahap kelayakan sahaja dibenar/dilantik menjadi wakil rakyat. Kita juga bukan hanya hendak mencari kekurangan/kelemahan orang lain tetapi kita seharusnya mengamalkan sikap menerima kekurangan diri dan bersedia untuk memperbaiki diri supaya menjadi lebih baik.
Justeru, saya menyarankan supaya wakil rakyat yang tahap bahasa Melayunya masih di peringkat sekolah rendah maka wajibkan mereka supaya mengikuti kursus bahasa Melayu secara intensif.
Semoga, pandangan saya ini sedikit sebanyak dapat membantu untuk mencelikkan mata mana-mana pihak yang masih lagi tertutup. Dengan kata lain, mereka tidak pernah nampak bahawa bangsa Malaysia akan maju jika menggunakan bahasa Melayu.
Dr Norazlina Hj Mohd Kiram
Ketua Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM
Penafian: Pandangan yang dikemukakan tidak mewakili pendirian rasmi ISMAweb mahupun Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), sebuah pertubuhan Islam sederhana.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan