1MDB: Pinjam pada kadar faedah tinggi ‘langkah bodoh’, kata Tun M
BANGI, Selasa – Tindakan pengurusan syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membuat pinjaman pada kadar fedah yang tinggi, satu “langkah bodoh”, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Bayangkan, meminjam wang, anda hanya dapat 90% daripada wang yang anda pinjam pada kadar faedah yang tinggi. Itu sangat bodoh,” katanya pada satu ceramah anjuran Kelab Koresponden Asing Malaysia di Kuala Lumpur malam tadi, seperti dilapor sebuah portal.
Dr Mahathir berkata, beliau juga tidak dapat menerima model ‘pelaburan’ 1MDB yang membeli syarikat pada harga rendah dan menjualnya pada harga tinggi.
Sedangkan katanya, peranan kerajaan adalah memungut cukai dari syarikat, bukan membeli dan menjual syarikat.
Mengulas siasatan terhadap 1MDB, Dr Mahathir berkata beliau lebih mempercayai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berbanding Jabatan Audit Negara.
PAC katanya, mempunyai kuasa untuk memanggil Datuk Seri Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, dan bertanyakan secara menyeluruh termasuk mengapa dan ke mana wang 1MDB hilang.
“Saya meletakkan lebih kepercayaan kepada PAC berbanding audit negara. Audit negara hanya memeriksa akaun, mereka tidak melakukan audit forensik, mereka tidak cuba untuk menyelidik dan mengambil tahu di mana wang berkenaan dibelanjakan, bagaimana wang itu dibelanjakan, ke mana wang itu digunakan.
“Mereka hanya memeriksa akaun tetapi mereka tidak akan temui banyak perkara kerana mereka yang menyimpan buku kira-kira ini mungkin orang yang sangat pandai,” kata Dr Mahathir.
1MDB, syarikat pelaburan negara yang dimiliki penuh oleh Kementerian Kewangan, kini dibelengu hutang RM42 bilion.
Selain dipersoalkan mengapa rugi dan ke mana wang pelaburan mereka, wujud kebimbangan bahawa syarikat dana awam negara digunakan untuk menyelamatkan 1MDB yang sedang nazak itu.
Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) mempunyai pelaburan sebanyak RM1.4 bilion dalam 1MDB.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula melaburkan RM1.52 bilion dalam anak syarikat 1MDB
Lembaga Tabung Haji (TH) mempunyai bon bernilai RM920 juta dalam pembangunan hartanah Bandar Malaysia yang dimiliki oleh 1MDB.
Jabatan Audit Negara kini sedang memeriksa akaun 1MDB sebelum mengemukakan laporan awal kepada Parlimen pada Jun ini manakala PAC mula melakukan siasatan ke atas syarikat berkenaan sejak 19 Mei lalu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan