Aman Palestin lancar kempen Ramadhan bersama Palestin, sasar sumbangan RM30 juta
KUALA LUMPUR, Rabu – Aman Pelestin Berhad hari ini melancarkan kempen “Ramadhan Bersama Palestin” dalam usaha mengumpul sumbangan orang ramai membantu rakyat Palestin menghadapi Ramadhan akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Awang Suffian Awang Piut berkata, pihaknya menawarkan beberapa pakej sumbangan termasuk RM50 untuk sijil wakaf, RM100 untuk duit raya, RM200 untuk imarah Masjid Al-Aqsa dan RM300 untuk sahur dan berbuka.
“Pada tahun ini kita mensasarkan sumbangan sebanyak RM30 juta yang akan disalurkan termasuk kepada keluarga miskin dan keluarga syuhada di Tebing Barat.
“Jumlah ini sebenarnya bukanlah besar untuk dibandingkan dengan keperluan mereka di sana,” katanya pada majlis pelancaran kempen itu di ibu negara hari ini.
Suffian berkata, kadar kemiskinan di Palestin kini mencecah 60 peratus manakala pengangguran pula 50 peratus.
Dengan segala kepungan yang semakin ketat oleh Zionis Israel, rakyat Palestin kini memerlukan perhatian dan bantuan daripada masyarakat antarabangsa.
“Kami cuma berusaha untuk memenuhi sedikit impian mereka, dan mahu melihat mereka senyum dengan membekalkan mereka keperluan asasi,” kata Suffian.
Lebih menarik kali ini, Aman Palestin turut memperkenal kaedah baru untuk menyumbang melalui pembelian dinar dan dirham.
Projek itu dibuat dengan jalinan kerjasama syarikat pengeluar dinar dan dirham, Nubex Sdn Bhd.
Satu memorandum persefahaman (Mou) turut ditandatangani hari ini dengan Nubex diwakili Ketua Pengarah Eksekutifnya, Mohd Faizal Mohd Nor.
Melalui kaedah itu, orang ramai boleh membeli dinar atau dirham dan sebahagian dari jualan tersebut akan disumbangkan kepada Palestin.
Sepanjang Ramadhan ini, Kempen Ramadhan Besama Palestin, kata Suffian, akan diisi dengan pelbagai program termasuk solat terawih bersama imam Palestin, qiamullail perdana, majlis iftar perdana serta ceramah Palestin seperti lazim dianjurkan NGO itu.
“Kami menyeru badan kerajaan, sawasta dan dermawan untuk menghulur sumbangan bagi sama-sama membantu saudara Islam di sana,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan