Ancaman Evangelis benar-benar berlaku: ISMA
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, Isnin – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), sebuah pertubuhan Islam sederhana menegaskan bahawa siri-siri ancaman Kristian Evangelis yang berlaku dalam negara ketika ini adalah suatu yang realiti dan sedang mengancam keselamatan negara.
Sambil menyifatkan ancaman seperti itu sukar dikawal, Naib Presiden ISMA, Abd Rahman Mat Dali, berkata masih ada umat Islam khususnya, bangsa Melayu yang masih tidak mempercayai wujudnya gerakan seperti ini.
Sedangkan, katanya, itulah realiti yang berlaku sekarang ini dan orang Melayu mesti mengkaji secara terperinci ancaman yang dilakukan secara halus itu.
“Saya pasti kalau mereka mula sedar dan faham falsafah, misi dan gerak kerja Evangelis ini, pasti orang Melayu akan menentang habis-habisan.
“Tidak mustahil ketika itu akan berlaku kekecohan dan perbalahan agama yang besar apabila tiba masanya,” katanya kepada Ismaweb.
Beliau berkata demikian merujuk kepada siri terbaru ancaman Evangelis untuk mengkristiankan Malaysia dalam satu persidangan agama Kristian ‘MforJ2015 Take Possession of The Land Kingdom Conference’ dengan slogan ‘Johor for Jesus’ yang berakhir jumaat lalu.
Persidangan tetap berjalan meskipun pihak polis memaklumkan ia dibatalkan.
Dalam kenyataannya sebelum ini juga Abd Rahman mengatakan Kapal Kristian Logo’s Hope yang berlabuh di Kuching baru-baru ini dan akan berlabuh di Pulau Pinang akan datang adalah sebahagian agenda untuk mengkristiankan Malaysia.
Justeru, katanya, siri ancaman yang dilakukan puak ini sebenarnya agak sukar dikawal.
“Mereka bijak untuk menafikannya. Jadi kita minta pihak berkuasa untuk bertindak. Jika tiada sekatan atau pembongkaran sudah tentu keadaan akan menjadi lebih buruk.
“Malah, kemungkinan Evangelis ini akan berani bertindak lebih jauh dengan alasan kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan