Dewan Ulama usul batal kerjasama dengan DAP, kekal dalam PR

ulama pas

Oleh Azri El

BANGI, Rabu – Dewan Ulama PAS Pusat yang bermuktamar hari ini meluluskan usul tergempar supaya PAS membatalkan kerjasamanya dengan parti rasis DAP, namun kekal dalam pakatan rakyat.

Usul itu antara lain menyebut, ianya kerana DAP telah pun memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan lantang menentang usaha PAS untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.

DAP juga telah bertindak membubarkan PR di Sabah dan Sarawak, selain gagal berpegang kepada perinsip “bersetuju untuk tidak bersetuju”.

Usul tersebut kemudian diterima sebulat suara oleh 644 perwakilan Dewan Ulama.

Berikut adalah teks penuh usul tersebut:

Usul Tergempar Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-54 yang bersidang pada 3 Jun 2015/16 Syaaban 1436 H di KUIZM.

Tahaaluf Siyaasi (Kerjasama Politik) Dengan DAP

1. Menyedari bahawa DAP sebagai rakan kerjasama politik PAS menerusi Pakatan Rakyat secara rasmi telah memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Pusat selaku ketua kepada parti.

2. Menyedari juga bahawa Pakatan Rakyat di Sarawak dan Sabah telah dibubarkan ekoran tekanan daripada DAP.

3. Menyedari bahawa DAP telah melangkaui batasan daripada hanya tidak bersetuju kepada menentang dan mengkritik secara lantang dan keras serta melobi ahli-ahli PAS untuk menolak usaha memperkasakan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang telah dikanunkan 1993 sebelum penubuhan Pakatan Rakyat.

4. Menyedari bahawa DAP menerusi Lim Kit Siang dalam satu soalan rasmi ke Parlimen bertarikh 18 Mei 2015 melakukan provokasi terhadap usaha PAS Kelantan untuk meminda Perlembagaan bagi melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam di Malaysia dengan cuba menyifatkannya sebagai bertentangan dengan semangat kenegaraan dan boleh memecah-belahkan negara.

5. Menyedari bahawa DAP secara konsistant dan berterusan menyerang Presiden PAS dengan pelbagai tohmahan dan kutukan.

6. Menyedari bahawa DAP secara berterusan dan konsistant melakukan pelbagai provokasi terhadap kedudukan PAS dalam PR.

7. Menyedari bahawa DAP telah gagal untuk berpegang kepada prinsip “setuju untuk tidak bersetuju” dalam prinsip dan perjuangan bersendiri setiap parti dalam Pakatan Rakyat seperti perjuangan untuk melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam.

8. Menyedari bahawa antara syarat-syarat Tahaaluf Siyaaasi (kerjasama politik) dengan parti yang tidak berlandaskan Islam mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk pelaksanaan Islam serta mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dipertahankan.

9. Menyedari bahawa sebahagian syarat-syarat keharusan kerjasama politik dengan parti tidak Islam telah dilanggar oleh sebahagian ahli PAS antaranya intimak (penggabungan diri) dan walak ahli hendaklah kepada parti Islam.

MAKA Muktamar Dewan Ulama PAS kali ke-54 mencadangkan kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?