Gerakan fail rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi tolak saman hudud

Gerakan logo
PUTRAJAYA, 4 Jun – Gerakan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan hari ini terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman pemula Gerakan untuk mencabar kesahihan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud.

Seorang daripada peguam yang mewakili Gerakan, Chai Ko Thing memberitahu pemberita notis rayuan difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Baharu, Kelantan hari ini.

Pada 7 Mei lepas, Mahkamah Tinggi Kota Baharu menolak permohonan Gerakan untuk merujuk persoalan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan.

Pada hari yang sama, Mahkamah Tinggi juga membatalkan saman pemula Gerakan untuk mencabar perlembagaan kerajaan negeri Kelantan berhubung Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang telah dipinda dan diluluskan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 19 Mac lepas.

Pindaan itu untuk memasukkan perundangan bagi kesalahan jenayah seperti mencuri, merompak dan rogol yang merupakan sebahagian daripada senarai perundangan persekutuan dan dihukum di bawah undang-undang persekutuan.

Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan notis usul Gerakan bersifat pramatang kerana difailkan sebelum Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan pindaan itu.

Beliau juga membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh kerajaan Kelantan bahawa Gerakan perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, permohonan Gerakan bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk memulakan petisyen mencabar kesahihan Enakmen Kanun Jenayah Syariah itu, ditetapkan hari ini bagi pengurusan kes di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Nor Aziah Jaafar menetapkan 9 Julai untuk pengurusan kes selanjutnya bagi membolehkan kerajaan negeri Kelantan memfailkan afidavit jawapan berhubung permohonan Gerakan itu.

Mewakili ketiga-tiga anggota parti iaitu Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee dan Chung Mon Sie pada prosiding hari ini ialah peguam Ong Siang Liang dan Chai.

Peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayub mewakili Pejabat Peguam Negara manakala peguam Wan Jawahir Harun mewakili kerajaan negeri Kelantan.

Dalam notis usul yang difailkan 8 Mei lepas, ketiga-tiga anggota Gerakan itu berkata DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang untuk menghukum perbuatan jenayah, yang termaktub di bawah undang-undang persekutuan.

Mereka mendakwa kelulusan Dewan Undangan Negeri berhubung pindaan itu adalah tidak sah dan batal kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam notis usul itu, mereka menamakan kerajaan negeri Kelantan sebagai defendan. – BERNAMA

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?