Guan Eng gesa wakil PAS dalam Kerajaan DAP Pulau Pinang letak jawatan
GEORGETOWN, Sabtu – Parti rasis dan cauvinis DAP bertindak balas terhadap keputusan PAS memutuskan hubungan dengannya, apabila ‘mengarahkan’ semua wakil parti Islam itu dalam kerajaan negeri dan agensinya meletak jawatan.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, oleh kerana PAS memutuskan hubungan dengan DAP, maka semua wakil parti Islam itu tidak perlu ada lagi dalam kerajaan negeri.
Waki PAS sebelum ini turut dilantik menganggotai majlis perbandaran dan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan komuniti (JKKK), selain agensi utama kerajaan negeri.
“Adalah suatu yang tidak dapat dipertahankan dari segi politik bagi mereka untuk kekal dalam kerajaan negeri yang diketuai saya atas kapasiti sebagai Setiausaha Agung DAP apabila muktamar PAS memutuskan hubungan dengan DAP,” katanya.
Mac lalu, Guan Eng berkata, mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat DAP membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Berikutan itu, DAP melancarkan beberapa siri serangan dan perang saraf terhadap Abdul Hadi, terutama apabila Ahli Parlimen Marang itu mahu membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian berkaitan menaik taraf Mahkamah Syariah selepas Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan sebulat suara undang-undang hudud.
Serangan bertali arus puak-puak DAP itu sehingga hampir kepada Muktamar Agung PAS Ke-61 yang sedang berlangsung juga bertujuan menjatuhkan kepemimpinan ulama di dalam PAS yang dilihat boleh menjejaskan agenda parti rasis itu, selain berusaha menaikkan pemimpin yang boleh dicucuk hidung.
Bagaimanapun, semalam muktamar meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP selepas Dewan Ulama PAS membuat keputusan demikian sehari sebelumnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Sabu atau ‘Mat Sabu’ seorang yang dikatakan rapat dengan DAP dan gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PAS pada muktamar itu akan meletak jawatan dalam agensi kerajaan DAP Pulau Pinang.
Mat Sabu adalah ahli Lembaga Pengarah Pengurusan Air Pulau Pinang serta Lembaga Halal Hub Pulau Pinang.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan