JAKIM tempatkan ustaz di 60 hospital

gambar_1

KOTA BHARU, Isnin – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menempatkan 60 kadet yang terdiri daripada kalangan ustaz di 60 buah hospital di seluruh negara bagi membantu pesakit beragama Islam.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM, Datuk Razali Shahabudin, berkata kadet berkenaan akan memberi tunjuk ajar kepada pesakit mengenai cara mengerjakan solat dan bertayammum dengan betul ketika sakit.

“Mereka juga akan membantu pihak hospital untuk menguruskan jenazah yang tidak mempunyai saudara serta pelbagai perkara yang bersangkutan dengan agama Islam,” katanya kepada pemberita pada simposium kebangsaan Islam Dalam Sains Kesihatan: Vaksin Daripada Perspektif 2015 di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh, Pengarah HUSM Datuk Dr Zaidun Kamari dan pengarah simposium Dr Mujahid Bakar.

Seramai 150 peserta yang terdiri daripada pegawai kesihatan negeri, JAHEAIK, JAKIM dan saintis dari seluruh negara turut serta mengikuti program selama dua hari berkenaan.

Mengulas mengenai simposium berkenaan Razali berkata, ia dapat memberi lebih kefahaman kepada peserta mengenai kedudukan sebenar isu vaksin.

“Program ini akan dapat merungkai segala masalah kekeliruan di kalangan masyarakat mengenai kedudukan sama ada boleh atau tidak menggunakan bahan atau ubat yang akan dijelaskan oleh pembentang,” katanya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya merujuk kepada pihak berkaitan sekiranya mempunyai kekeliruan berkaitan penggunaan vaksin. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian