Najib mula lawatan rasmi ke Arab Saudi atas undangan Raja Arab Saudi
JEDDAH, Sabtu — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memulakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Arab Saudi mulai Sabtu atas undangan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud, kata Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Zainol Rahim Zainuddin.
Beliau berkata lawatan ini bertujuan mengeratkan lagi hubungan yang sudah lama terjalin dan kedua-dua pemimpin akan membincangkan pelbagai perkara dalam hubungan dua hala supaya dapat dimanfaatkan rakyat kedua-dua buah negara.
Katanya, antara lain, kedua-dua pemimpin akan menyentuh perkara berhubung kuota jemaah Malaysia.
“Ini permintaan khas (atas lawatan ini). Semua pihak sudah tahu berhubung permintaan terhadap perkara itu dan Malaysia akan terus meminta supaya kuota itu ditambah.
Zainol Rahim berkata ini merupakan perjumpaan pertama kedua-dua pemimpin secara rasmi sejak baginda ditabalkan awal tahun ini.
“Ini merupakan satu penghormatan kepada Malaysia dan Perdana Menteri memandangkan Raja Salman baru sahaja ditabalkan awal tahun ini dan Perdana Menteri merupakan salah seorang ketua negara atau ketua kerajaan yang dijemput khusus untuk mengadakan perbincangan dengan baginda,” kata Zainal Rahim kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi Perdana Menteri, di Jeddah, Jumaat.
“Dijemput oleh baginda dalam masa yang singkat selepas pertabalan baginda benar-benar menunjukkan betapa akrabnya kita,” katanya.
Perkembangan ini jelas menunjukkan betapa rapat hubungan Malaysia dengan kerajaan Arab yang menganggap Malaysia sebagai negara yang penting bukan sahaja di rantau Asia Tenggara tetapi di peringkat dunia.
Zainol Rahim berkata dalam lawatannya, Najib akan diringi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharum.
Najib, yang dijadual tiba Sabtu, akan menunaikan ibadat umrah.
Duta Besar Malaysia itu berkata semasa lawatan itu, Najib akan melawat depoh stesen Al Mashaaer Al Mugaddasah di Makkah pada Ahad. Stesen itu akan beroperasi hanya pada musim haji dan dijangka mengendalikan 100,000 penumpang.
Sebelum ini, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) memenangi bida sebagai ‘pengendali bayangan’ bagi Fasa Pertama Metro Program Pengangkutan Awam Makkah (Makkah Metro).
Zainol Rahim berkata pemberian projek ini jelas menunjukkan kepercayaan kerajaan Arab Saudi terhadap kemampuan rakyat Malaysia.
“Kami mempunyai beberapa pelaburan di Arab Saudi tetapi pemberian projek mengendalikan sistem pengangkutan ini jelas menunjukkan keyakinan dunia terhadap kemampuan Malaysia dalam aktiviti ekonomi,” katanya.
Perkembangan ini dapat menarik perhatian pelabur negara ini untuk melihat peluang tawaran Malaysia dalam bidang pelaburan. – BERNAMA
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan