PasMa proksi DAP versi Melayu
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, Isnin – Pertubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang dianggotai penyokong dan ahli PAS berhaluan kiri kini boleh dianggap sebagai proksi DAP versi Melayu jika pertubuhan itu bertukar menjadi parti politik.
Yang Dipertua Majlis Syura Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Sharipuddin Ab Kadir, berkata sememangnya dari awal lagi PasMa bermatlamat menjadi sebuah parti politik melalui bantuan parti rasis DAP.
“Kenyataan Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi, bahawa NGO itu akan mengadakan mesyuaratnya bagi membincangkan sama ada mahu bertukar menjadi sebuah parti politik, menunjukkan matlamat mereka selama ini.
“Impian mereka tidak akan tercapai tanpa parti politik. DAP pula memerlukan sokongan orang Melayu untuk meneruskan agenda mereka.
“Tanpa sokongan Melayu agak sukar bagi DAP meneruskan agenda mereka. Maka PasMa adalah pilihan terbaik bagi DAP,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.
Muktamar Agung PAS Ke-61 yang berakhir Sabtu lalu menyaksikan semua pemimpin PAS yang mesra PasMa dan DAP, termasuk Ustaz Ahmad Awang yang bertanding jawatan presiden, tewas sepenuhnya kepada kumpulan pro-ulama.
Berikutan keputusan yang tidak memihak kepada mereka, Phahrolrazi menyatakan bahawa wujud desakan daripada ahli supaya PasMa bertukar menjadi parti politik dan perkara itu akan dibincangkan dalam masa terdekat.
Ustaz Sharipuddin berkata, perkara itu sudah dijangka kerana PasMa memang sudah berjinak-jinak dengan DAP.
“Sama ada berada dalam PAS atau menjadi parti politik sendiri, pendirian PasMa adalah berbaik-baik dengan DAP.
“Langkah pertama adalah untuk menguasai PAS ketika pemilihan kepemimpinan PAS Pusat telah gagal. Jadi, memang sudah dijangka PasMa memerlukan parti politik untuk meneruskan impian mereka,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan