Penganjur ‘Johor for Jesus’ permain pihak berkuasa
BANGI, Khamis – Tindakan penganjur persidangan agama Kristian ‘MforJ 2015 Take Possession of The Land Kingdom Conference’ (MforJ 2015) yang tetap mengadakan acaranya di Berjaya Waterfront Hotel tanpa permit semalam benar-benar mempermainkan pihak berkuasa.
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Ustaz Ibrahim Mohd Hasan Al-Hafiz, berkata pihak penganjur mencabar kewibawaan pihak berkuasa.
“Mereka telah bersetuju membatalkan program mereka. Tetapi kenapa program itu masih berjalan?
“Apatah lagi program yang diadakan semalam tidak mempunyai permit. Perkara seperti ini tidak boleh berlaku, wajar tindakan tegas diambil terhadap penganjur,” katanya ketika dihubungi.
Ismaweb semalam melaporkan acara kontroversi itu tetap berjalan meskipun pihak polis memaklumkan ia dibatalkan.
Hari ini, Pegawai Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) yang tidak mahu dikenali mengesahkan bahawa penganjur tidak memohon permit untuk acara yang diadakan di Berjaya Hotel Waterfront di Stulang Laut, Johor Bahru bermula semalam sehingga hari ini.
“Mereka tidak memohon permit agar pihak polis tidak boleh mengambil tindakan,” kata pegawai itu.
Ustaz Ibrahim berkata, susulan kes ini pihak berkuasa tempatan perlu mengambil langkah proaktif bekerjasama dengan pihak berkuasa polis untuk memastikan bahawa penganjuran yang tidak mendapat permit tersebut diambil tindakan sewajarnya.
“Pihak berkuasa tempatan tidak boleh lepas tangan dengan menyatakan ia tiada permit tanpa mengambil tindakan sewajarnya kerana poster promosi program boleh didapati secara terbuka,” katanya.
Tambah beliau, PEMBINA tiada masalah untuk penganut ajaran Kristian menganjurkan program tertutup dan mengamalkan anjaran mereka kerana ia dijamin di bawah pemerintahan Islam.
“Namun promosi umum dan video klip yang jelas menyatakan hasrat untuk menakluk negeri itu adalah satu bentuk provokasi,” katanya lagi.
Baru-baru ini, video trailer program berunsur keagamaan yang mengangkat slogan ‘Johor for Jesus’ telah tersebar di kalangan pengguna internet.
Dalam video itu, kelihatan pengacara dan beberapa individu melaungkan ungkapan seperti berikut:
“I’m waking up the giant of asia Malaysian Church”, “Give me johor baru or i die”, “There will be revivalists appear in Johor Bahru” dan “Allow me to chase away the enemy in the city”.
Ia dikendalikan oleh barisan paderi Rev Philip Mantofa (Indonesia), Rev Ewen Chow (Taiwan), Rev Sumiati Supit (Indonesia), Rev Jonathan Loh (Malaysia) dan Rev Wong Chee Meng (Malaysia).
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan