Regim As-Sisi tangkap empat lagi pemimpin Ikhwan
KAHERAH, Rabu – Sekurang-kurangnya empat lagi pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin ditangkap pihak keselamatan regim kudeta Presiden Abdel-Fattah Al-Sisi, dalam operasi terbaru memburu saki baki ahli gerakan Islam itu.
Mereka yang ditangkap termasuk jurucakap pertubuhan itu, Mahmoud Ghozlan, Mufti Abdel Rahman El-Bar dan dua lagi yang lain.
Beberapa media antarabangsa melaporkan mengenai penangkapan itu sejak semalam, namun Kementerian Dalam Negeri Mesir masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenainya.
Sumber keselamatan memberitahu media, mereka ditangkap di dalam sebuah apartmen di Bandar Giza lewat malam Ahad dan Isnin lalu.
Mahmoud Ghozlan dan Abdel Rahman El-Bar dikatakan dalam usaha untuk ke Sudan sebelum mereka ditahan.
Mahmoud Ghozlan dikehendaki dalam beberapa kes, manakala mahkamah jenayah Qalioubiya menjatuhi hukuman mati tanpa hadir kepada Abdel Rahman El-Bar tahun lalu.
Kedua-duanya telah melarikan sejak penyingkiran Presiden yang dipilih secara demokrasi, Mohamed Morsi pada bulan Julai 2013.
Sebelum ini, ramai percaya bahawa kedua-dua mereka telah keluar dari Mesir, sama ada ke Qatar atau Turki.
Penangkapan itu turut disahkan wakil Ikhwan di London, Abdullah Haddad yang menulis perkara itu di twitter.
Mahmoud Ghozlan yang tidak dapat dikesan sebelum ini, mendapat perhatian umum minggu lalu, selepas mengeluarkan kenyataan akan terus berusaha mengembalikan legitimasi Mesir.
Regim As-Sisi mengisytiharkan Ikhwanul Muslimin sebuah organisasi pengganas pada bulan November 2013. – Ahram Arabic News
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan