Seruan ‘tangguh hudud’ yang keliru

Hudud Kelantan
Semasa penjajahan British di Tanah Melayu, Syariat Islam yang terkandung dalam Hukum Kanun Melaka, Majallah Ahkam Johor, Hukum Kanun Pahang yang mentadbir negeri-negeri berkenaan dan sekitarnya digantikan dengan Common Law yang terpakai di England dan Tanah Jajahan India ketika itu.

Setelah Malaysia merdeka pada tahun 1957, dalam perjuangan pelbagai gerakan Islam di sini dan di Dunia Islam amnya untuk mengembalikan penegakan Syariat Islam, antaranya hukum Hudud.

Terdapat kekeliruan pada sebilangan orang bahawa Hudud hendaklah ditangguhkan kerana masih terdapat kekeliruan dalam masyarakat sedang Nabi saw bersabda ادرء الحدود بالشبهات bermaksud, “Jangan laksanakan hukuman Hudud kerana (jika terdapat) kekeliruan”.

Contohnya, apabila ADUN PAS dan ADUN UMNO di DUN Kelantan sebulat suara mewakili rakyat masing-masing mengundi menyokong Enakmen Jenayah Syariah II, ada pihak berpendapat, langkah itu belum sesuai kerana masih terdapat syubhat (kekeliruan) dalam masyarakat, isu ekonomi hendaklah didahulukan, orang-orang kafir masih keliru tentang Hudud dan alasan-alasan yang lain.

Untuk menjelaskan kekeliruan ini, kita kena membezakan antara:

1. Mendaulatkan Syariat Islam (antaranya adalah hukum Hudud), dengan mengkanunkannya di dalam Dewan-dewan Perundangan, berbanding;

2- Melaksanakan hukuman Hudud, yang semestinya melalui proses Mahkamah Syariah dengan disiplin dan peraturannya yang ketat dan menyeluruh.

Sebenarnya, pengundian wakil-wakil rakyat untuk mendaulat dan mengkanunkan Syariat Islam, sepenuh atau sebahagiannya dahulu, adalah merupakan salah satu kemuncak kejayaan Perjuangan Islam oleh Duat, bahkan oleh Rakyat.

Ini dicapai melalui pewartaan undang-undang Syariat melalui undian majoriti (51%) atau lebih-lebih lagi melalui pindaan Perlembagaan mendaulatkan Syariat Islam melalui undian 2/3 (67%) anggota Dewan.

Apa yang diputuskan di dalam Dewan-dewan Perundangan adalah merangkumi kesemua Rakyat, samada yang mencuri itu seorang miskin atau kaya, samada yang membunuh itu seorang yang sengaja atau tidak, samada seorang yang berzina atau penuduh itu dalam keadaan sedar atau keliru dan seumpamanya.

Adapun di fasa pelaksanaan Syariat Islam, iaitu proses mahkamah dan keterangan, maka hadis ادرء الحدود بالشبهات itu diambilkira. Di mahkamah, hasil penyiasatan terperinci, hujjah keterangan didengari dan sebarang kekeliruan dikenalpasti. Melalui proses itu, hakim memutuskan hukuman yang adil, dengan mengambilkira kekeliruan jika ada terhadap tertuduh.

Bukan tugas utama Wakil-wakil Rakyat untuk mengenalpasti kekeliruan pada seseorang yang tertuduh seorang demi seorang. Proses terperinci tersebut hanya dilakukan, bahkan hanya boleh dilakukan di kamar Mahkamah, bukan di Dewan Perundangan (Parlimen dan DUN).

Tugas Wakil-wakil Rakyat adalah mendaulatkan Syariat Islam dengan meminda Undang-undang Sivil di Parlimen dan DUN-DUN sehingga ia selari atau compliance dengan Syariat Islam, tanpa lengah, terutama undang-undang yang membina atau mencegah seperti pengharaman riba, kelucahan, penindasan, eksploitasi, korupsi dan seumpamanya dan bukan sekadar undang-undang yang menghukum seperti Hudud sahaja.

Tidakkah Nabi SAW, apabila mengeluarkan hadis di atas, Syariat Islam dan Hudud telahpun berdaulat di Madinah ? Tidakkah Al-Quran merupakan Perlembagaan tertinggi ketika itu, yang mengandungi berbagai-bagai Undang-undang Islam dan Hukum Hudud ?

Dalam pelaksanaan, Nabi SAW cuba mengenalpasti syubahat (kekeliruan) dalam setiap kes. Apabila seorang wanita hamil datang dan mengaku berzina, Nabi SAW cuba mengenalpasti terlebih dahulu jika ada kekeliruan dalam kes itu. Ini dalam keadaan Syariat Islam telah berdaulat di Madinah.

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia adalah fasik”.

Moga Syariat Islam kembali berdaulat di Malaysia, Dunia Islam dan seluruh dunia amnya. “Pada hari itu orang-orang beriman akan bergembira dengan kemenangan dari Allah. Dia memenangkan siapa yang dikehendaki-Nya” (Al-Quran).

Ustaz Abdul Halim Abdullah
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
7 Jun 2015

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?