Tun M dedah kempen untuk burukkan beliau
BANGI, Jumaat – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan ada kempen yang agresif untuk memburuk-burukkan kredibilitinya dan memusnah apa yang dikatakan ‘legasi’ atau warisannya.
Melalui tulisan terbarunya dalam blog chedet.cc, beliau berkata, sekarang ini dapat dilihat bahawa terdapat kempen secara agresif untuk memburuk-burukkan beliau dan menunjukkan bagaimana Perdana Menteri mendapat sokongan rakyat.
“Jelas sejumlah wang yang besar digunakan untuk menjayakan kempen itu,” katanya.
Tun Dr Mahathir menjelaskan mengenai kehadiran seorang rakan lamanya yang datang bertemu beliau untuk meminta beliau menghentikan serangan terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Menceritakan lebih lanjut, beliau berkata, beliau pernah menolong rakannya itu ketika menjadi Perdana Menteri, bukan bantuan dari segi kewangan atau pekerjaan, tetapi untuk mengurangkan kerenah birokrasi terhadap projeknya.
“Akhirnya beliau menjadi seorang pendidik yang berjaya hingga dapat berkembang ke luar negara. Saya melakukan ini kepada sesiapa saja.
“Kerap kali rakan saya akan singgah di pejabat saya untuk berbincang pelbagai isu. Dia bimbang mengenai polisi pentadbiran kerajaan Najib serta prestasinya serta meminta saya melakukan sesuatu.
“Tetapi, apabila dia datang kali ini, sesuatu telah berubah. Dia terus menerus meminta saya tidak ‘menyerang’ Perdana Menteri. Saya menjelaskan kenapa saya berbuat demikian.
“Tetapi dia berterusan mendesak saya berhenti daripada usaha mempersoal pemimpin mengenai skandal kewangan semasa.
“Dia memberi amaran bahawa jika saya berterusan berbuat demikian saya akan hilang legasi. Saya memberitahunya apa yang rakyat fikir mengenai legasi saya adalah tidak penting. Saya mengambil berat apa yang berlaku dalam negara.
“Reputasi baik kita kini sedang terhapus,” katanya.
Tun Dr Mahathir berkata, beliau kini menyedari kenapa rakannya itu bercakap mengenai beliau akan kehilangan legasi atau warisannya di Malaysia.
“Dia kini bertugas di Pejabat Perdana Menteri dan diberi tugas untuk memburuk-burukkan saya dan memusnahkan apa yang dia kata sebagai legasi.
“Saya rasa dia dan ‘bossnya’ percaya jika saya tidak popular maka kecaman saya terhadap penipuan membabitkan 1MDB tidak akan dipedulikan oleh rakyat,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan