Ulama PAS: Sikap pecah perintah DAP boleh batal tahaluf
GOMBAK, Rabu – Sikap DAP yang mengamalkan ‘pecah perintah’ terhadap PAS, boleh mendorong parti Islam menamatkan hubungan tahaluf dalam Pakatan Rakyat.
Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mahfodz Mohamed berkata, banyak tindakan unilateral dilakukan DAP menyebabkan PAS sering dipaksa mengikut telunjuk mereka.
Terbaru termasuk serangan bertali arus terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana tidak mahu mengikut kehendak mereka khususnya dalam isu pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.
“DAP melancarkan serangan provokasi terhadap batang tubuh Presiden PAS khususnya. DAP membuat keputusan rasmi memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, tetapi tidak dengan PAS.
“Ini merupakan satu perancangan pecah dan perintah oleh DAP iaitu memecahbelahkan kesatuan pimpinan untuk mereka kuasai PAS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Dewan Ulama PAS, di Taman Melewar, di sini pagi ini.
Selain isu Langkah Kajang, dan konflik pemilihan Menteri Besar Selangor sebelum ini, DAP juga telah mengisytiharkan pembubaran Pakatan Rakyat di Sabah dan Sarawak atas alasan kecewa dengan pendirian PAS mahu melaksanakan hudud.
Lebih parah lagi kata Mahfodz, apabila DAP cuba campur tangan dalam pemilihan PAS kali ini, seolah-olah mahu mencatur kepimpinan baru parti.
“Ia adalah isyarat campur tangan yang jelas agar perwakilan memilih pemimpin baru PAS yang pro dengan segala tindak tanduk DAP.
“Situasi ini memperingatkan kita dengan syarat-syarat tahaluf siyasi (kerjasama politik) yang telah digariskan oleh Majlis Syura Ulama pada 2009.
“Tindakan provokatif DAP ini boleh membatalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara parti Islam dengan parti sosialis tersebut,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan