Berhenti kata rakyat Malaysia bodoh: Tun Dr Mahathir
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, Rabu – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir Perdana Menteri dan penyokongnya yang terus berusaha meyakinkan rakyat bahawa wang berjumlah RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun Datuk Seri Najib Razak, adalah derma.
Beliau berkata, rakyat berhak tahu kerana mereka tidak percaya RM2.6 bilion itu adalah pemberian peribadi kepada Perdana Menteri Malaysia untuk memenangi pilihan raya.
Rakyat Malaysia, katanya, tidak mahu mempercayai bahawa calon mereka bagi menduduki kerusi tertinggi di dalam negara ini mewakili sesetengah orang di luar negara.
“Berhenti daripada memikirkan yang rakyat Malaysia ini bodoh.
“Hakikatnya tidak ada siapa pun yang percaya atau boleh mempercayai bahawa sejumlah wang yang besar boleh didermakan kepada Datuk Seri Najib atau kepada sesiapa sahaja atas apa jua alasan sekalipun,” katanya dalam kiriman terbaru di blog beliau, hari ini.
Tun Dr Mahathir berkata, adalah tidak masuk akal juga apabila memberitahu bahawa pemberian itu adalah kerana Malaysia menentang Islamic State (IS).
Katanya, IS hanya mula menunjukkan wajah sebagai pengganas hanya pada 2014, sedangkan wang yang masuk ke akaun peribadi Najib diperoleh pada 2013 atau sebelumnya.
“Mengatakan bahawa ia adalah kerana Malaysia sebuah negara Islam sederhana juga tidak masuk akal kerana negara ini tidak bersifat ekstrem dalam mengamalkan Islam.
“Kenapa AS$700 juta? Pastinya ia adalah terlalu besar bagi keperluan pilihan raya Malaysia, kecuali jika ia untuk merasuah pengundi. Mengapa mesti ada orang yang mahu merasuah pengundi Malaysia supaya Najib akan menang.
“Rakyat Malaysia telah menyokong Barisan Nasional (BN) tanpa perlu diberi rasuah oleh sesiapa saja, lebih-lebih lagi orang asing,” katanya.
Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu bahawa beliau telah berjumpa dengan orang Arab yang memberi wang itu.
“Jadi perlulah beliau buktikan bahawa orang Arab ini mempunyai sejumlah wang yang banyak untuk diberikan kepada Malaysia dan negara lain. Negara mana. Apakah sumber daripada wang ini.
“Apakah perniagaan yang dijalankannya? Apakah nama bank yang beliau gunakan. Tunjuk akaunnya dalam bank, cek yang beliau keluarkan, terutamanya AS$700 juta. Bank penerima perlu menyimpan cek ini,” katanya.
Tun Dr Mahathir berkata, semua maklumat ini mungkin telah disahkan oleh Pasukan Petugas Khas dianggotai empat agensi kerajaan.
Tetapi, katanya, Najib telah membubarkan Pasukan Petugas Khas ini dengan memecat Peguam Negara, menghantar Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) bercuti dan menuduh Bank Negara membocorkan maklumat rahsia kerajaan.
“Sekarang SPRM dikatakan masih menyiasat RM2.6 bilion. Jika Najib serius membenarkan RM2.6 bilion dalam Ambank, beliau mesti membentuk semula Pasukan Petugas Khas yang asal. Pasukan khas baru yang dipenuhi orangnya tidak mempunyai kredibiliti,” katanya.
Belkau berkata, bank sememangnya perlu menyimpan rahsia, namun pihak bank juga dikehendaki melaporkan jika mengesyaki ada penggubalan wang haram.
“Bank di Malaysia, Singapura, Switzerland dan Amerika tidak boleh menyembunyikan perniagaan mereka dengan wang yang disyaki disuri. Apa yang mereka lakukan?
“Bila wang yang dicuri dimasukkan ke bank, tujuannya untuk menjadikannya sah, untuk mencucinya. Kemudian wang itu hilang dari Ambank kerana akaun ditutup.
“Apabila akaun ditutup, ini tidak bermakna sejumlah besar wang dikeluarkan secara tunai. Ia mungkin dipindahkan ke lain-lain bank. Namun, kita tidak mendengar mana-mana bank melaporkan wang itu ada bersama mereka.
“Dua akaun dilaporkan dibekukan di Singapura. Pastinya pemegang akaun ini mesti disiasat. Tetapi setakat ini tiada apa-apa kedengaran.
“Adakah bank akan terus menyimpan wang itu. Jika ianya tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan, maka wang itu telah dibersihkan.
“Jika ini yang berlaku, kenapa bank harus meneliti sejumlah besar wang yang didepositkan dengan mereka. Mungkin juga mereka tidak meneliti sejumlah besar wang yang mencurigakan yang menjadi kontroversi sebaliknya hanya menyimpannya,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan