107 jemaah maut dalam kejadian kren tumbang di Makkah

mekah
MAKKAH, Sabtu – Pihak Berkuasa Pertahanan Awam Arab Saudi dalam laman Twitternya, mengesahkan sekurang-kurangnya 107 jemaah meninggal dunia manakala 238 mengalami kecederaan apabila sebuah kren tumbang dalam kejadian ribut pasir dan hujan lebat, di sini petang semalam.

Bagaimanapun, Tabung Haji megesahkan tiada jemaah haji Malaysia terkorban, dan hanya sepuluh dilaporkan tercedera dalam kejadian berkenaan.

Difahamkan, kren tersebut telah menghempap kawasan Saie dan sebahagiannya runtuh di kawasan tawaf.

Jurucakap dua masjid suci, Ahmed bin Mohammad al-Mansoori berkata sebahagian kren tumbang pada 5:10 petang (Jumaat 10:10 malam waktu Malaysia) akibat angin kencang dan hujan lebat.

Dalam kejadian itu, pelbagai gambar telah dimuat naik ke laman sosial seperti mayat berlumuran darah dan kemusnahan infrastruktur.

Sebuah video di YouTube menunjukkan jemaah menjerit dan berlari menyelamatkan diri selepas mendengar bunyi dentuman kuat dan melihat asap tebal.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata dalam kejadian kira-kira seorang jemaah haji lelaki Malaysia dilaporkan telah patah kaki, manakala lima lagi cedera ringan.

“Empat jemaah lelaki dan dua jemaah wanita cedera, termasuk seorang patah kaki, dia (patah kaki) kini dirawat di Pusat Perubatan Tabung Haji Syisya,” katanya.

Oleh itu, pihak Tabung Haji (TH) akan membuat pemeriksaan dari bilik ke bilik bagi pengesahan selanjutnya berkenaan jumlah jemaah haji Malaysia yang terbabit.

“Selepas solat Isyak, bermula 11 malam ini (Sabtu 4 pagi waktu Malaysia), kita akan membuat pemeriksaan bilik ke bilik, untuk mengesahkan jemaah kita yang pergi bersolat di Masjidil Haram, pulang ke bilik masing-masing,” katanya.

Sementara itu, pihak TH berkata keluarga dan waris jemaah haji di tanah air yang terbabit dalam kejadian itu juga telah dimaklumkan berkenaan keadian tersebut.

Sebelum ini, pihak Tabung Haji telah memberikan nasihat kepada jemaah Malaysia supaya berada di hotel penginapan sekiranya hujan atau berlakunya ribut pasir.

Untuk maklumat lanjut, waris atau keluarga jemaah haji di tanah air boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji di Damansara, Kuala Lumpur di talian 03-62071919.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?