1MDB berada di landasan betul, sejajar pelan rasionalisasi: Najib
KUALA LUMPUR, Rabu – 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berada di landasan yang betul untuk mengurangkan hutangnya melalui pelan rasionalisasinya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata 1MDB telah menerima tawaran yang sangat menggalakkan, bagaimanapun enggan mendedahkannya kerana ia masih dalam proses kajian terperinci.
“Bila selesai nanti, kita akan buat pengumuman rasmi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini hari ini.
Pada mesyuarat tersebut, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata penjelasan telah diberikan berhubung kedudukan semasa syarikat berkenaan.
Pada bulan lepas, Najib berkata kerajaan mempunyai rancangan untuk mengurangkan beban hutang yang ditanggung 1MDB dan memerlukan masa enam bulan untuk memulihkan syarikat itu.
Dilaporkan bahawa empat buah syarikat terdiri daripada Tenaga Nasional Bhd, YTL Power International Bhd, Malakoff Corp Bhd dan CI Holdings Bhd telah menandatangani perjanjian bukan pendedahan (NDA) dengan Maybank Investment Bank Bhd, dan dalam pelbagai peringkat perbincangan untuk mengambil alih cabang penjanaan tenaga 1MDB, Edra Global Energy Bhd.
Mengenai bahagian hartanah, 1MDB telah menerima 12 bidaan untuk menyertai sebagai rakan kongsi pembangunan dalam projek Bandar Malaysia dan cabang pelaburan strategik kerajaan itu dijangka menyenarai pendek pembida pilihan dalam masa terdekat.
Sementara itu, pusat kewangan Tun Razak Exchange yang dibangunkan 1MDB telah berjaya menarik empat pelabur iaitu Lend Lease Group dari Australia, Mulia Group (Indonesia), Lembaga Tabung Haji dan Affin Bank Bhd. – BERNAMA
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan