850,000 pelarian dijangka merentasi Laut Mediterranean – UNHCR
GENEVA, Khamis – Sekurang-kurangnya 850,000 pelarian dijangka akan menyeberangi laut Mediterranean untuk mencari perlindungan di Eropah tahun ini dan berikutnya.
Susulan itu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) menggesa dasar suaka yang lebih bersepadu dibentuk bagi menguruskan bilangan pelarian yang semakin meningkat.
UNHCR berkata, kebanyakan pelarian berasal dari Syria, tetapi berhijrah ke Eropah disebabkan peperangan dan situasi yang semakin teruk di negara-negara sekitarnya kerana kekurangan pembiyaan dalam program bantuan.
Pada 2015, UNHCR menjangkakan kira-kira 400,000 pelarian baharu akan mencari suaka di Eropah melalui Mediterranean. Pada 2016, jumlah ini boleh mencecah 450,000 atau lebih.
Jurucakapnya, William Spindler berkata, ramalan bagi tahun ini sudah hampir pasti, apabila 366,000 pelarian telah membuat pelayaran ke Eropah dan jumlah itu bergantung sama ada pelarian akan berhenti belayar kerana cuaca semakin sejuk dan keadaan laut yang akan lebih berbahaya.
Bagaimanapun, setakat ini jumlah mereka tidak berkurangan walaupun cuaca semakin sejuk, apatah lagi setelah pengumuman Jerman bahawa negara itu akan melonggarkan peraturan bagi pelarian yang tiba ke Eropah melalui negara-negara lain.
Rekod ketibaan pelarian Syria sehari, pada hari Isnin lalu adalah seramai 7,000 dan telah tiba di Macedonia manakala 30,000 lagi berada di beberapa pulau di Greece yang sebahagian besar dari mereka berada di Pulau Lesbos.
Kebanyakan daripada mereka yang berada di Greece akan meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) untuk meneruskan perjalanan melalui Balkan ke Hungary dan seterusnya tiba di Jerman.
“Jadi jelas perbincangan Eropah minggu ini akan membincangkan keperluan Eropah dalam menyelesaikan masalah ini kerana jalan penyelesaian Jerman bukan jalan yang terbaik untuk Eropah,” kata jurucakap UNHCR, Melissa Fleming.
Bagaimanapun Ketua UNHCR Antonio Guterres digesa meningkatkan peruntukan undang-undang kepada pelarian yang tiba di Eropah seperti meningkatkan bilangan visa dan usaha-usaha untuk menyatukan kembali pelarian dengan keluarga mereka.
Sebelum ini, Jerman telah memberitahu Kesatuan Eropah tentang kesediaannya menerima lebih ramai pelarian ke negara itu dan dijangka mereka akan menerima 800,000 permohonan suaka politik pada tahun ini. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan