Himpunan baju merah sah, boleh dibuat kata polis
BANGI, Isnin – Himpunan Rakyat Bersatu atau ‘himpunan baju merah’ adalah dianggap sah mengikut undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman kerana penganjur mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, perhimpunan itu dibenarkan selepas penganjur mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Padang Merbok bagi perhimpunan tersebut yang dirancang pada 16 September ini.
Katanya, pihak polis akan memberi jaminan akan melindungi keselamatan orang ramai dan mendesak rakyat agar tidak percaya dakwaan khabar angin yang menyeru bukan Melayu menjauhi kawasan pusat bandar kerana kemungkinan ada rusuhan berlaku.
“Sekarang, perhimpunan akan dibenarkan berlangsung. Walaupun secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan demonstrasi tetapi kita akan benarkan kerana ia memenuhi kriteria mengikut undang-undang berkenaan.
“Kita akan mengerahkan tenaga anggota secukupnya dan kita mampu memastikan keselamatan semua orang,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Khalid berkata, oleh kerana penganjur mendapat kebenaran DBKL untuk mengadakan perhimpunan, polis akan bantu menyelaras perkumpulan itu dan memastikan ia berlangsung dengan aman.
Beliau berkata polis akan memantau ucapan yang dibuat ketika perhimpunan itu dan berikrar akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang membuat kenyataan berunsur hasutan.
“Saya nasihatkan penganjur berkenaan. Saya minta mereka buktikan ini akan menjadi demonstrasi aman dan mereka akan mematuhi undang-undang. Kita akan memantau isi kandungan ucapan mereka,” katanya
Beliau turuk mendesak orang ramai supaya tidak percaya dengan berita palsu yang tersebar memberi amaran kepada bukan Melayu supaya menjauhi ibu kota Kuala Lumpur pada Rabu kerana perhimpunan itu.
Perhimpunan baju merah atau Himpunan Rakyat Bersatu dikatakan diadakan untuk membalas perhimpunan Bersih 4 yang berlangsung menjelang sambutan Hari Kebangsaan, mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan susulan skandal kewangan yang dikaitkan dengannya.
Perhimpunan itu juga diadakan untuk melahirkan kemarahan berikutan rakaman peserta Bersih 4 memijak gambar Najib dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan