Kafarah tebus taklik talak tiga tidak sah

izhar

BANGI, Isnin – Kafarah yang dilakukan bagi menebus taklik talak tiga dilafazkan ketika berbaiah tidak sah, jelas pensyarah Kanan Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mohd Izhar Arif Mohd Kashim.

Beliau berkata, ini kerana talak tetap jatuh dan tidak boleh ditarik balik sekiranya taklik tersebut dilanggar.

“Apabila kita gantungkan taklik itu dengan sesuatu perbuatan atau perkataan, sebagai contoh kalau saya lompat parti, maka saya ceraikan isteri saya talak tiga, maka jatuhlah talak. Talak pula memang tak boleh ditebus.

“Jadi sebarang kenyataan bahawa taklik terbatal setelah mereka bayar kafarah, itu tidak betul,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya situasi tersebut berlaku, maka mereka yang melafazkan baiah perlu merujuk kepada Mahkamah Syariah untuk mengesahkan status perkahwinan.

“Mereka tak boleh setakat kata sudah rujuk ustaz tertentu.

“Kena rujuk  Mahkamah Syariah sebagai mengikut amalan undang-undang di negara ini,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

Menurut Mohd Izhar Ariff, baiah yang mengandungi taklik adalah berbeza dengan baiah atau sumpah tidak melompat parti yang boleh dibatalkan dengan kafarah.

“Baiah ada dua perkara yang berbeza hukum, pertama baiah sumpah untuk tidak lompat parti. Apabila seseorang bersumpah dengan ‘wallahi, wabillahi, watallahi’, maknanya dia bersumpah dengan nama Allah.

“Jika sumpah ini dilanggar, maka diwajibkan kafarah ke atas mereka. Kafarah ini tidak boleh lari daripada tiga perkara iaitu memberi makan 10 orang fakir miskin, memberi pakaian 10 orang fakir miskin atau memerdekakan seorang hamba.

“Sekiranya individu itu tidak mampu melakukan ketiga-tiganya, maka dia perlu berpuasa tiga hari berturut-turut. Hanya selepas itu, sumpah tersebut boleh dibatalkan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata parti politik yang menggunakan baiah boleh dianggap sebagai amalan politik yang tidak sihat.

“Mereka sepatutnya sedar bahawa politik adalah sesuatu yang tidak jelas, kita tidak tahu apa yang berlaku pada masa depan, mungkin menang mungkin kalah. Cukuplah sekadar baiah sumpah sebab ia boleh ditebus tapi kalau melibatkan talak, ia memang keterlaluan,” kataya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?