Kapal MV Sah Lian sudah ditemui, semua anak kapal selamat
KUCHING, Jumaat – Kapal MV Sah Lian yang dilaporkan hilang pada 7 Sept lepas semasa dalam perjalanan dari Kuching ke Limbang, sudah ditemui sekitar 26 batu nautika dari Tanjung Baram, Miri, petang semalam.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak ACP N Kalai Chelvan mengesahkan bahawa kapal yang ditemui pada pukul 4.40 petang itu mengalami kerosakan enjin dan hanyut sehingga ke perairan Miri.
Beliau berkata pihaknya sudah menghubungi kapten kapal berkenaan yang memberitahu bahawa semua anak kapal berada dalam keadaan selamat, dan mereka sedang menunggu bantuan pembaikan daripada syarikat berkenaan.
“Mereka tidak memerlukan bantuan lain, dan kapal berkenaan akan ditunda terus ke Limbang, dengan alasan mereka bimbang kargo yang dibawa akan rosak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya keadaan laut di kawasan kapal itu ditemui didapati agak berjerebu, dengan jarak penglihatan sekitar dua batu nautika.
Sementara itu Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit dalam sidang media di Ibu Pejabat APMM Wilayah Sarawak di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (Komtas) di Muara Tebas di sini petang semalam berkata pemilik kapal itu memberitahu bahawa mereka dihubungi oleh sebuah kapal kargo yang ternampak Sah Lian pada pukul 10.45 malam tadi.
Bagaimanapun menurutnya pemilik kapal itu hanya memaklumkan kepada APMM hanya pada pukul 10.45 pagi, dan pihaknya sudah menghantar asetnya untuk mengesan kapal berkenaan.
Menurutnya APMM yang menerima laporan mengenai kehilangan kapal itu pada Isnin lepas telah mengerahkan kesemua aset lautnya yang beroperasi di daerah maritim Kuching, Bintulu, dan Miri untuk mencari, dengan turut dibantu oleh pesawat C-130 Hercules dari Tentera Udara Diraja Malaysia yang berpangkalan di Labuan.
Katanya menurut pengurus syarikat perkapalan berkenaan, kali terakhir kapten kapal itu Haryanto Iskandar dapat dihubungi ialah pada 2 Sept semasa kapal itu berada di perairan Tanjung Sirik.
Kapal itu berlepas dari Kuching pada 2 Sept dan dijadual tiba di Limbang pada 5 Sept.
Ismaili berkata kapal yang dikendalikan seorang kapten beserta 13 orang kru itu dianggarkan bernilai RM1.5 juta.
Menurutnya, kapten kapal itu berasal dari Indonesia manakala lima krunya terdiri daripada warga Myanmar, empat warga India, tiga warga tempatan dan seorang warga Indonesia. – BERNAMA
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan