‘Mengaibkan bila pemimpin Melayu minta orang Melayu lupa kemelayuan mereka’
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, Isnin – Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni menempelak kenyataan Bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz apabila mahukan bangsa Melayu tidak lagi memperkenalkan diri mengikut kaum berikutan hidup di negara majmuk.
“Adalah suatu yang amat mengaibkan bila pemimpin Melayu meminta orang-orang Melayu melupakan kemelayuan mereka.
“Apatah lagi kenyataan yang ganjil ini keluar dari bekas pimpinan sebuah parti yang ditubuhkan berteraskan bangsa Melayu dan dinamakan dengan identiti Melayu.
“Rafidah sepatutnya berasa malu dengan kenyataannya itu. Dia mesti menarik balik seruan tersebut.
“Jika tidak sejarah beliau sebagai pejuang dan bekas pimpinan parti Melayu terbesar di Malaysia akan berakhir sebagai penentang Melayu,” tegasnya kepada Ismaweb hari ini.
Semalam Rafidah seolah-olah mahu Melayu dilupakan apabila dia mengatakan orang Melayu kini tidak lagi berada di Tanah Melayu atau Malaya, tetapi mereka merupakan sebahagian daripada Malaysia yang merupakan satu negara dan terdiri dari pelbagai kaum.
Ustaz Fauzi berkata, Melayu adalah identiti satu bangsa yang bertamadun dan berperadaban tinggi.
Sebelum ini pun orang India Muslim di zaman penjajahan pernah memohon untuk dimasukkan dalam komuniti Melayu kerana imej yang baik tersebut.
“Bahkan pemimpin politik Cina dan India sendiri tidak pernah meminta ahli-ahlinya melupakan kecinaan atau keindiaan mereka.
“Jadi kenapa perlu buang imej pengenalan diri yang baik?
“Juateru saya tegaskan, Melayu akan kekal menjadi identiti negara ini. Perkataan Malaysia itu sendiri masih berteraskan kata asal Malay yang merujuk kepada bangsa Melayu,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan