Pengambilan tanah individu untuk jalan hubungan desa perlu ada pampasan
PUTRAJAYA, Khamis – Kerajaan bercadang memperkenalkan dasar pembayaran pampasan ke atas tanah milik individu yang diambil bagi pembinaan jalan perhubungan desa dalam sesebuah kampung.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dasar pembinaan jalan perhubungan desa di atas tanah milik individu yang diguna pakai sekarang tidak melibatkan sebarang bayaran pampasan dan ia tidak adil.
“Ambil (tanah) percuma tanpa pampasan sudah tidak sesuai lagi. Dasar ini perlu diubah. Bila ambil tanah orang kampung mesti bayar pampasan,” katanya, sambil menambah kementeriannya akan mengemukakan cadangan dasar baharu itu kepada Kementerian Kewangan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bersama exco-exco luar bandar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini Khamis.
Ismail Sabri menjelaskan, jalan perhubungan desa dibina bagi menghubungkan setiap rumah dalam sesebuah kampung, dan sebagai contoh jika kampung itu mempunyai 100 buah rumah, maka jalan tersebut akan menghubungkan dari rumah pertama hinggalah ke rumah yang terakhir.
“Dulu jalan perhubungan desa agak kecil kerana dilalui basikal dan motosikal sahaja tetapi hari ini banyak kereta yang masuk ke kampung. Oleh itu jalan perlu luas dan ini melibatkan penggunaan tanah yang banyak,” katanya.
Ismail Sabri berkata perkara lain yang turut dibincangkan pada mesyuarat hari ini ialah pembinaan sekurang-kurangnya 3,000 km jalan hubungan berturap bagi menghubungkan kampung-kampung dengan bandar di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.
“Jalan hubungan ini adalah penting demi akses dan perhubungan sesebuah kampung dengan bandar bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk kampung melalui aktiviti pertanian dan keusahawanan,” katanya. -Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan