PKR berkeras mahu PAS sertai pakatan baharu

azmin ali 2
BANGI, Selasa – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap mahukan bekas rakan sekutunya, PAS untuk menyertai gabungan pembangkang baharu walaupun ditentang DAP.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, PKR menerima mana-mana pihak yang berpendirian melakukan reformasi secara menyeluruh termasuk PAS.

“Itu pandangan Lim Guan Eng. Terpulang kepada DAP, yang saya nyatakan baru-baru ini bukan kenyataan dan pendirian saya tapi itu pendirian PKR.

“Ini bukan pendirian saya atau (Datuk Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail). Kita sudah bincang panjang, termasuk pandangan dan maklum balas yang diterima Ketua Umum (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang menyatakan PKR sentiasa bersifat inklusif,” katanya kepada pemberita di Rawang, hari ini.

Beliau berkata, PKR mahu duduk semeja berbincang dengan DAP dan PAS kerana percaya parti pembangkang perlu bermuafakat bagi menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi daripada terus merudum.

“Sebagai sebuah parti yang diberikan mandat oleh rakyat untuk bertanggungjawab menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi negara dengan melibatkan semua pihak, kita mesti ada rasa rendah diri untuk menerima pandangan daripada pelbagai pihak tapi dengan matlamat yang sama.

“Itu pendirian PKR,” katanya.

Azmin berkata, perkara itu boleh dibincangkan dalam beberapa siri yang akan datang bagi melihatnya berdasarkan senario politik semasa.

“Sudah tentu ada keperluan untuk kita mengikat semua parti politik ini dengan satu muafakat dan matlamat yang lebih jelas bagi menyelamatkan negara dan memulih ekonomi hari ini,” katanya.

Ditanya sama ada penubuhan Pakatan Rakyat 2.0 akan datang melibatkan empat parti – PKR, DAP, PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah), katanya perkara itu belum diputuskan.

“Saya tak tahu. Sebab, itu tertakluk kepada perbincangan. Kita sentiasa berdasarkan konsensus, bukan keputusan individu,” katanya.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP semalam dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan menerima penyertaan PAS dalam gabungan baharu pembangkang.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, DAP dan PAS kini berada di tahap tidak mungkin dapat “rujuk” kembali kerana parti Islam itu sudah mengisytiharkan mereka sebagai musuh.

“Bagaimana kami boleh menyertai pakatan itu bila PAS hendak bertanding menentang kami?” soalnya.

Amanah minggu lalu turut menolak cadangan Anwar, yang menyebut PAS sebagai sebahagian gabungan baharu pembangkang, menyifatkan ia ‘tidak realistik’ kerana menganggap parti Islam itu bukan aset kepada Pakatan Rakyat 2.0.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?