Tolak pakatan baharu bukti PAS memartabatkan bangsa, agama
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, Jumaat – Pendirian PAS untuk tidak menyertai pakatan pembangkang baharu sekalipun dipujuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuktikan parti Islam itu kini meletakkan hala tuju yang jelas untuk memartabatkan bangsa dan agama.
Bercakap perkara itu, Yang Di Pertua Majlis Syura Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Sharipudin Ab Kadir berkata kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini telah meletakkan PAS pada landasan yang betul.
“Ini kerana mana mana pemuafakatan yang tidak meletakkan agenda agama sebagai agenda utama hanya kerja sia-sia.
“Sekalipun ianya dihiasi dengan dakwaan yang menggembirakan dengan sedikit bantuan untuk masjid, surau, sekolah agama dan maahad tahfiz,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian mengulas pendirian Haji Hadi yang tidak akan ada penyertaan daripada PAS dalam pakatan baharu atas sebab agenda yang tersirat di sebalik pakatan tersebut.
Haji Hadi berkata, kewujudan pakatan baharu tidak jelas dalam mendaulatkan Islam malah membawa agenda sebaliknya.
“Konsep kita, mahu Islam didaulatkan dan dimartabatkan kerana kita tahu negara kita mempunyai majoriti beragama Islam,” katanya.
Jelas Ustaz Sharipuddin, sememangnya erjuangan tanpa meletakkan Islam sebagai agenda utama tidak akan ke mana mana, bahkan lama kelamaan ianya akan menjadi seperti debu yang berterbangan.
“Tambahan pula, DAP sama sekali tidak akan membela Islam. DAP sekali kali tidak akan redha dengan kemuliaan Islam.
“Jadi apakah Gerakan Harapan Baru (GHB) masih mengharapkan Islam akan menang dengan kerjasama bersama DAP,” soalnya.
GHB ini atau juga dikenali sebagai Parti Amanah Negara (Amanah) ini dibarisi bekas pemimpin PAS yang sebelum ini kalah teruk semasa pemilihan parti pada muktamar ke-61 Jun lalu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan