Tragedi Al-Haram: Seorang jemaah Malaysia disahkan terkorban
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, Ahad – Seorang daripada lapan jemaah haji Malaysia yang dilaporkan hilang disahkan meninggal dunia dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah pada Jumaat.
Mangsa yang dikenalpasti ialah Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak.
Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir dalam sidang media di Lembaga Tabung Haji, Kelana Jaya tadi.
“Hari ini merupakan hari pertama Tabung Haji Makkah dibenarkan membuat proses pengecaman jenazah melalui 108 mangsa yang dipaparkan.
“Pasukan tabung haji dibenarkan masuk ke bilik jenazah untuk proses pengecaman pada jam 10.30 pagi tadi waktu Saudi iaitu 3.30 petang waktu tempatan,” katanya.
Beliau berkata, proses pengecaman dilakukan melalui pengecaman diri, buku rekod kesihatan, pas, gelang pengenalan diri dan ujian DNA sekiranya perlu.
“Saya bagi pihak Perdana Menteri, kerajaan Malaysia dan pihak Lembaga Tabung Haji Malaysia mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa,” katanya.
Jamil Khir berkata, beliau berduka cita dan simpati kepada waris dan menasihati untuk terus bersabar dan tabah.
“Kami telah menghubungi waris mangsa untuk memaklumkan perkara ini yang diwakili sendiri oleh pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Abdul Aziz,” katanya lagi.
Beliau turut berharap supaya waris mangsa yang masih gagal dikesan untuk terus bersabar kerana pihak tabung haji akan meneruskan usaha untuk mencari mereka.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan