Di mana Rasulullah s.a.w. di hati kita?

image

Imam Al Ghazali pernah berkata bahawa hati umpama raja yang paling berkuasa di dalam diri manusia. Hati adalah tempat cinta bertakhta. Jika seseorang mencintai sesuatu, seluruh tenaga, upaya dan fokus dalam hidupnya akan memberi perhatian terhadap perkara yang dicintai.

Dalam hal ini, kita perlu berhati-hati apabila memilih siapa dan apa yang kita nak dijadikan cinta kita. Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Seseorang akan menjadi hamba kepada apa-apa yang dicintainya.” (Riwayat Al-Bukhari).

Cinta kepada Allah tidak mungkin dicapai tanpa melalui cinta kepada Rasulullah s.a.w. Cinta Allah itu tujuan, cinta kepada Rasulullah adalah jalan. Menurut pakar motivasi dan psikologi, antara jalan menuju kejayaan adalah dengan meniru orang yang berjaya. Kita sebagai umat Islam, siapa lagi orang yang patut kita jadikan idola dan ikutan kalau bukan Rasulullah s.a.w?

Malah, dalam buku yang ditulis oleh Michael H Hart yang bertajuk “The 100 A Ranking of the Most Influential Persons in History”, Nabi Muhammad s.a.w. berada di tempat pertama. Walaupun penulis ini adalah orang Barat dan bukan Islam, tetapi dalam bukunya dia mengiktiraf Nabi Muhammad s.a.w. sebagai manusia holistik paling berjaya dalam sejarah. Nabi Muhammad diiktiraf sebagai utusan Allah, suami, bapa, peniaga, panglima tentera, ketua Negara, dan pakar strategik terbaik dalam sejarah manusia. Allah sudah nyatakan perkara ini dalam Al-Quran yang bermaksud, “Pada diri Rasulullah buat kamu adalah suri teladan yang baik.” (Al-Ahzab:21).

Cinta kepada Allah mewajibkan kita agar mencintai sesiapa dan segala sesuatu yang dicintai-Nya. Insan yang paling dicintai oleh Allah adalah Rasulullah s.a.w. Perkara ini ada dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran yang bermaksud, “ Katakan: Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku (Muhammad), nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Imran :31).

Jasa Rasulullah s.a.w. sangat besar dan tidak mungkin dibalas oleh kita. Tanpa penat lelah dan pengorbanan Rasulullah s.a.w. dalam menyampaikan risalah tauhid selama 23 tahun, kita tidak mungkin mengecapai nikmat Islam dan Iman?

Baginda bukan sahaja bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan manusia di dunia sahaja, malah akhirat. Baginda sering menyampaikan berita tentang kehidupan akhirat sama ada berita gembira dan ganjaran buat orang beriman (syurga) dan ancaman yang pedih buat orang yang kufur (neraka). Itulah seruan pertama Rasulullah s.a.w di Bukit Sofa semasa permulaan fasa dakwah secara terang terangan kepada semua kabilah orang Arab Mekah. Pemimpin biasa hanya memikirkan menyelamatkan pengikutnya di dunia, tetapi Rasulullah s.a.w. berusaha menyelamtkan pengikutnya di dunia dan juga di akhirat.

Rasulullah s.a.w. bukan sahaja membersihkan dunia daripada kejahatan dan maksiat, malah membersihkan hati manusia daripada dosa dan kemungkaran. Berikut adalah cara-cara untuk membuktikan kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w.:

  • Melazimi selawat sekurang-kurangnya 100 kali sehari

Rasulullah s.a.w. bersabda, “ Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka aku akan berselawat atasnya 10 kali.” (Al-Bukhari). Bayangkan jika Rasulullah berselawat kepada kita, berapa banyak rahmat yang Allah kurniakan kepada kita. Moga-moga dengan banyak berselawat, urusan dunia kita dipermudahkan, kesusahan dan kesengsaraan akan segera pulih, hidup kita bahagia dan tenang.

  • Mematuhi ajaran Rasulullah

Tanda cinta ialah patuh. Seorang yang mencintai Rasulullah akan menjadi hamba Allah dengan mengikut sunnah Rasulullah. Bacalah hadis-hadis sahih yang mengandungi ajaran dan pedoman Rasulullah dan ikutilah segala ajarannya.

  • Mengenali Rasulullah

Kita perlu benar-benar mengenali Rasulullah melalui sirah dan sunnah baginda. Tidak memadai jika kita mencintai Rasulullah hanya kerana jasad dan tubuh badan baginda tanpa mengenali dan mencintai perjuangannya. Abu Talib, bapa saudara Rasulullah sangat mengenali dan rapat dengan baginda malah orang yang paling kuat mempertahankan baginda daripada ancaman kafir Quraisy. Tetapi, pada akhirnya, dia tidak mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam. Untuk mengenali Rasulullah dari segi fizikal dan cara hidupnya, dicadangkan baca buku Syamail Muhammadiyah karangan Imam Tarmizi. Untuk mengetahui analisa siri-siri perjuangan Rasulullah dalam menyampaikan dakwah, dicadangkan baca buku Ar-Rahiq Al Makhtum karangan Syeikh Sofiyurahman Al-Mubarakfuri.

  • Membaca, menghayati, menghafal dan mengamalkan hadis-hadis sahih

Hadis Rasullah s.a.w. adalah sumber kedua umat Islam selepas Al-Quran. Dalam hadislah, kita diajar mengenai cara-cara melaksanakan syariat Allah seperti berwuduk, bersolat, berpuasa dan sebagainya. Dalam hadislah, kita diberitahu mengenai larangan-larangan yang perlu dijauhi dan suruhan-suruhan yang perlu dilakukan. Sekurang-kurangnya, kita perlu berusaha menghafal Hadis 40 Imam Nawawi serta cuba mengamalkan kerana himpunan hadis 40 adalah hadis mengenai asas-asas ajaran Islam serta semua hadisnya bertaraf sahih.

  • Menegakkan amar makruf dan nahi mungkar

Sunnah terbesar Rasulullah s.a.w adalah dakwah. Dengan berdakwahlah, risalah Islam tersebar di seluruh dunia serta dunia pernah menyaksikan keadilan dan rahmat di bawah  pimpinan kehebatan tamadun Islam memerintah 2/3 dunia semasa zaman Bani Abbasiyyah. Salah satu cara kita menzahirkan kecintaan kita kepada Rasulullah adalah dengan meneruskan kerja-kerja baginda iaitu menyampaikan risalah Tauhid sehingga syariat Allah kembali tertegak di muka bumi. “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.”(Al-Imran:110). Tidak berbanggakah kita jika kita dipilih oleh Allah sebagai umat terbaik? Pengiktirafan daripada pencipta langit dan bumi. Adakah cukup sekadar berbangga tanpa cuba memenuhi kriteria-kriteria yang diberi? Ayuh, mari kita jadi umat kebanggaan Rasulullah s.a.w. dengan meneruskan kerja baginda. Dalam usaha kita meningkatkan ilmu dan kefahaman mengenai Islam, kita juga diseru untuk berdakwah dan menegakkan amar makruf dan nahi mungkar.

Mohd Syahmi bin Mohd Shaari

Aktivis ISMA

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian