Dividen ASN RM6.10, turun 35 sen berbanding 2014

asn

KUALA LUMPUR, Selasa – Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.10 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional (ASN) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, berbanding 6.45 sen seunit yang diagihkan tahun lalu.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata agihan pendapatan itu membabitkan pembayaran sejumlah RM106.72 juta dan memberi manfaat kepada 1.25 juta pemegang unit yang kini memiliki sejumlah 1.75 bilion unit ASN.

“Sehingga 23 Disember lalu, ASN mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM126.27 juta,” katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan agihan dividen itu di sini, semalam.

Daripada jumlah berkenaan, keuntungan daripada jualan saham menyumbang 63.3 peratus, diikuti dengan pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat (28 peratus) dan instrumen lain (8.7 peratus).

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Ekseutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata dividen yang lebih rendah itu disebabkan oleh persekitaran ekonomi yang mencabar, seperti harga komoditi yang rendah dan prestasi pasaran saham yang kurang memberangsangkan.

“Indek FTSE Bursa Malaysia KLCI telah mencatat penurunan sebanyak 5.5 peratus kepada 1,663.51 mata pada 23 Disember daripada 1,761.25 mata pada 31 Disember 2014,” katanya.

Agihan pendapatan akan dilaburkan semula ke dalam unit tambahan ASN dan akan secara automatik dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit berdasarkan nilai bersih setakat 31 Dis, 2015.

Pemegang unit boleh mengemas kini akaun ASN mereka bermula 4 Jan, 2016 di mana-mana pejabat ASNB atau ejennya di seluruh negara.

Semua urus niaga ASN di ibu pejabat ASNB, pejabat atau ejennya digantung pada 24 Disember tahun ini sehingga 3 Januari ini bagi memudahkan pengiraan agihan pendapatan dan urus niaga boleh dijalankan semula pada 4 Januari 2016. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian