Jangan terlalu percaya, taksub kepada ‘Ustaz Youtube’

DATUK AYOB KHAN MYDIN

SHAH ALAM, Ahad – Bukit Aman mengingatkan orang ramai, khususnya umat Islam supaya tidak mudah mempercayai atau terlalu taksub dengan ceramah yang disampaikan ‘ustaz youtube’.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata ini kerana penceramah bebas boleh menyebabkan pengetahuan yang dikemukakan tidak selari pemikiran ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Jangan mudah mempercayai atau terlalu taksub dengan dakyah yang disampaikan oleh ‘Ustaz Youtube’ bagi mengelakkan penularan fahaman ekstremis,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Bicara Dakwah Siri Lima anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketaksuban terhadap penceramah youtube ini akan mendorong sesetengah individu mengambil jalan pantas untuk ke syurga dengan menyertai kumpulan militan atau ekstremis.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk tidak terlalu taksub dengan penceramah tidak bertauliah yang ‘menghalalkan cara’ untuk melakukan keganasan.

Katanya, penceramah sebegini sering dilihat melalui laman sosial Youtube yang sudah menjadi fenomena sejak kebelakangan ini.

“Fahaman yang dibawa melalui penceramah bebas perlu dibanteras kerana mereka berhujah akan keperluan menyertai jihad bersama IS melalui manipulasi terhadap al-Quran dan Hadis. Fahaman yang disampaikan itu bercanggah dan mempunyai doktrin militan,” katanya.

Ayob berkata, rata-rata kumpulan militan negara Islam (Daesh) berjaya merekrut ahli baharu dan memperoleh sumber kewangan juga melalui penggunaan media sosial apabila ada pengguna yang bersimpati dengan perjuangan mereka.

Beliau turut menggesa semua pihak berkuasa agama untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam  meningkatkan lagi usaha membanteras dakyah ekstrimis melalui medium berkenaan.

“Kita mengambil langkah mengawal maklumat fahaman ekstremis ini, dan pada masa sama usaha membanteras melalui media sosial juga turut dijalankan,” ujarnya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian