Mitos Santa Klaus: Dr Adian Husaini

Di Filipina, penjaga lalu lintas ini menggayakan pakaian Santa Klaus pada 25 Disember.

Di Filipina, penjaga lalu lintas ini menggayakan pakaian Santa Klaus pada 25 Disember.

Oleh Dr Adian Husaini
Diterjemah Ainul Illia Meor Suzurudin

JAN BREMMER, dalam buku Interpretations of Greek Mythology, (London: Routledge, 1988) menulis bahawa walaupun masyarakat Barat sudah menjadi sekular dan menolak perkara-perkara mistik, namun mereka masih mempunyai cerita dongeng tertentu yang dijadikan sebagai model dan ekspresi ideal terhadap negaranya.

Meskipun berbeza, masyarakat Barat memiliki banyak persamaan dengan masyarakat Yunani. Sebagaimana masyarakat Yunani, mitos-mitos juga banyak yang dirasakan menarik bagi masyarakat Barat.

Apakah yang dimaksudkan dengan Greek Mythology?

David Bellingham, dalam buku An Introduction to Greek Mythology, (London: Quintet Publishing Ltd, 1989), menulis sedikit penerangan mengenai perkara tersebut.

Perkataan mitos (myth) berasal daripada perkataan Yunani kuno “muthos” yang asalnya membawa maksud “ucapan”, dan seterusnya bermaksud “cerita oral atau tertulis”.

Lazimnya, seseorang “Lagenda” (legend) akan berkait dengan peristiwa sebenar tetapi turut mengandungi unsur-unsur mitos. Salah satu legenda terkenal dalam tradisi Yunani adalah cerita tentang Perang Troya yang menceritakan kepahlawanan Achiles dan Agamemnon.

Pengaruh mitos-mitos Yunani terhadap masyarakat Barat dapat dilihat daripada banyaknya istilah atau nama-nama yang diambil daripada nama-nama dewa dalam mitologi Yunani, seperti Titans, Eros, Aether, Uranus, Electra, Hera, Apollo, Mars, Hermes.

Apollo, yang dijadikan nama pesawat pertama Amerika Syarikat ke bulan, dipuja sebagai dewa rasional dan dikaitkan dengan budaya dan muzik.

Dia digambarkan sebagai lelaki tampan yang memiliki banyak hubungan sulit dengan lelaki mahupun wanita.

Menurut mitologi Yunani, Dewa Apollo dilahirkan di pulau Delos, yang hingga kini masih disucikan.

Dalam perjalanannya ke Delphi, dia membunuh seekor ular besar yang disebut ‘Python’. Hingga kini, di Delphi masih terdapat sisa-sisa kuil yang disebut sebagai kuil Dewa Apollo.

Hermes, anak Zeus, juga digambarkan memiliki banyak hubungan sulit sama seperti Apollo. Dia dikenali sebagai Dewa para pencuri.

Ketika dia membesar, Zeus menjadikannya sebagai utusan para dewa. Hanya Hermes yang memiliki keizinan untuk bebas melalui antara Gunung Olympus, dunia, dan ‘underworld’.

Daripada nama Hermes kemudian diambil istilah ‘hermeneutika’. Cerita-cerita dalam mitologi Yunani memang dipenuhi dengan unsur seksual dan kecurangan, baik di antara para dewa mahupun antara dewa dengan manusia.

Mitos-mitos itu wujud dalam masyarakat Yunani meskipun sebahagian mereka juga mengembangkan pemikiran mengenai falsafah dan ilmu pengetahuan alam.

Pada zaman moden, Barat mengembangkan mitos-mitos yang mirip dengan mitologi Yunani. Cerita Superman dan Wonderwoman, misalnya, mirip dengan cerita dalam mitologi Yunani. Wonderwomen yang diperkenalkan oleh Charles Moulton, sama dengan cerita Diana dalam mitologi Yunani.

Superman, yang tidak dapat dilemahkan kecuali dengan Kryptonite Hijau, mirip dengan kehebatan Achilles yang tidak dapat dilukai kecuali pada tumitnya.

Boleh dibandingkan bagaimana produktifnya masyarakat Yunani dan Barat dalam mencipta pelbagai mitos.

Boleh diperhatikan bagaimana pesat dan berpengaruhnya industri filem di Barat, yang banyaknya menerbitkan mitos-mitos dan legenda yang ternyata begitu disukai masyarakat Barat.

Filem-filem yang menjual mitos dan legenda seperti Ghost, Rambo, Robin Hood, Batman, Superman, Spiderman dan sebagainya.

Filem Troy yang bercerita tentang legenda kepahlawanan Achiles dan Agammemnon sewaktu zaman Yunani kuno, laris diserbu penonton di panggung wayang Kuala Lumpur.

Penonton sanggup bersusah payah untuk dapat menikmati filem yang dibintangi oleh Brad Pitt, Orlando Bloom dan Eric Bana ini.

Filem Spiderman 2 juga bukan main hebatnya dalam mempengaruhi penonton. Sehinggakan penonton dilarang membawa telefon bimbit untuk masuk ke dalam panggung wayang.

23 Julai 2004, menyaksikan Filem Spiderman 2 meraih keuntungan sebanyak 15 juta masih di bawah keuntungan yang dikutip Filem legenda, “Catwoman” yang meraih 16.7 juta USD.

Filem King Arthur, yang baru ditayangkan dalam beberapa tempoh pada 23 Julai 2004 telah meraih keuntungan 3.04 juta USD. Filem The Passion of The Christ yang begitu kontroversi, berhasil mendapat keuntungan 19.2 juta USD, sampai bulan Februari 2004.

Filem ini, meskipun diasaskan pada cerita Perjanjian Baru (New Testament), tetapi juga diselitkan dengan pelbagai cerita yang sukar disahihkan kebenarannya. Filem trilogi “The Lord of the Rings” pula mampu meraih keuntungan lebih daripada 2,000 juta USD.

Santa Claus

Dalam tradisi masyarakat Barat , Santa Claus dan Suartepit merupakan legenda dan mitos yang sangat terkenal dikaitkan dengan Perayaan Natal atau kelahiran Jesus (Natus, natalis, dalam bahasa Latin bererti “kelahiran”).

Cerita ini sama sekali tidak ada kaitan dengan agama Kristian. Tetapi ianya tetap mendominasi suasana Natal di Barat dan berbagai-bagai penjuru dunia lainnya.

Setiap kali menjelang Natal, hotel-hotel, kompleks membeli belah akan memasang patung dan gambar Santa Claus, yang biasanya digambarkan dengan pakaian merah dan topi merah berjambul. Bahkan, ramai orang turut mengikut berpakaian ala Santa Claus.

Cerita Santa Claus sendiri sebenarnya tidak begitu jelas. Kononnya, ia berasal daripada seseorang yang bernama Nicholas, dilahirkan di kota Lycia, tempat pelabuhan kuno di Patara (Asia Kecil).

Nicholas digambarkan sebagai seorang yang ramah, suka menolong anak dan orang miskin. Namun, legenda Santo Nicholas juga bercampur dengan legenda lain mengenai ‘pemberi hadiah’ di kalangan kaum pagan yang memiliki kekuatan sihir yang menghukum kanak-kanak nakal dan memberi hadiah kepada kanak-kanak yang baik.

Dia biasanya menaiki kereta terbang yang ditarik rusa kutub. Namun, ada juga legenda Santa Claus yang menggambarkan orang tua berjanggut putih panjang berpakaian uskup menaiki kuda yang boleh terbang ke atap rumah, dibantu Swarte Piet.

Santa Claus akan datang pada malam 5 Disember ke rumah-rumah untuk memberi hadiah kepada kanak-kanak yang baik melalui cerobong asap.

Gambaran Santa Claus, yang berkulit putih dan pemurah kepada anak-anak boleh dijadikan sebagai bahan propaganda mengenai kebaikan orang kulit putih.

Sebaliknya, budak berkulit hitam, pembantunya Swarte Piet, digambarkan bersifat kejam, dan suka mengganggu kanak-kanak nakal. Oleh kerana sejarah kehidupan Nicholas yang tidak jelas, Paus Paulus VI telah membuang perayaan Santo Nicholas daripada kalendar rasmi gereja Roma Katolik pada tahun 1969. Ada juga Santa Claus versi Amerika Syarikat (AS) yang berasal dari Kutub Utara.

Santa Claus di AS adalah ciptaan Public Relation Manager untuk mempromosikan produk minuman tertentu. Kerana orang Amerika tidak mahu disebut rasis, maka Santa Claus di AS tidak ditemani oleh pembantunya yang berkulit hitam.

Ramai di kalangan Kristian yang prihatin dengan Perayaan Natal yang lebih menonjolkan legenda dan mitos Santa Claus, berbanding keperibadian Jesus.

Dalam laman web Kristian (http://ift.tt/1uFEQnD) ada pembaca yang bertanya, “Kalau kita sudah tahu perayaan Natal itu banyak legenda/mitosnya apakah tidak sebaiknya kita meniadakan perayaan Natal itu?”

Lalu dijawab, “Benar harus diakui bahawa perayaan natal sudah banyak diisi legenda/mitos yang tidak ada hubungannya dengan Injil, apalagi perayaan natal sudah menjadi bisnes besar dan dikomersialkan oleh dunia sekular sebagai musim berbelanja di akhir tahun.

“Namun walaupun banyak legenda/mitos yang dimasukkan dalam rangkaian perayaan Natal ini, (tentu yang harus kita demitologisasikan adalah bungkus legenda/mitos itu dan bukan perayaan Natal itu sendiri yang sudah ada sebelum masuknya legenda/mitos Santa Claus itu.)

“Soalnya, perayaan Natal yang bersumberkan peristiwa di Bethlehem itu sudah dikenang pada hari Epifani pada 6 Januari dalam gereja yang kemudian di tahun 325 dipindah kepada tarikh 25 Disember untuk menggantikan Hari Dewa Matahari.

“Natal bukan Hari Matahari kerana sejak awal perayaan Natal, tidak ada unsur penyembahan Dewa Matahari itu, apalagi tidak ada perayaan minggu Saturnalia seperti yang dilakukan orang Romawi dulu ke dalam rangkaian perayaan Natal.”

Hakikatnya, bukan hanya Santa Claus dan Suartepit yang bersifat mitos namun perayaan Natal pada 25 Disember pun sarat dengan mitos-mitos dan pengaruh paganisme dan terus mewujudkan perdebatan panjang di kalangan kaum Kristian.

Remi Silado, seorang budayawan Kristian menulis sebuah di sebuah kolum di majalah Gatra, (27 Desember 2003). Judulnya “Gatal di Natal”.

Dia menulis antaranya:

(1) “Sebab, memang tradisi pesta ceria Natal, yang sekarang kini sering dinyanyikan dalam Bahasa Inggeris, belum lagi wujud. Sapaan Natal, “Merry Christmas” – dari bahasa Inggeris Lama, Christes Maesse, ertinya “misa Kristus” – baru wujud pada abad ke-16 dan perayaannya bukan pada 25 Disember tetapi 6 Januari.”

(2) “Dengan gambaran ini, keramaian Natal sebagai perhitungan tahun Masihi memang berkaitan dengan Barat, istiadat kafir, atau tradisi pagan yang tidak berhubungan dengan Jesus sendiri sebagai tokoh historis-antropologis bangsa Semit, yang lahir dari keturunan Ibrahim dan Daud, yang merupakan bangsa tangan pertama yang mengenal monoteisme absolut melalui Yehwah.”

(3) Sebagaimana hebatnya pesta Natal itu saat ini, secara dasar nilai-nilai rohaninya tergeser dan kemudian yang menonjol adalah kecenderungan-kecenderungan duniawinya semata: antara lain di Manado orang mengatakan “makang riki puru polote en minung riki mabo” (makan sampai pecah perut dan minum sampai mabuk).

(4) “Demikianlah, soal Natal sekali lagi merupakan gambaran pengaruh Barat, dan persisnya Barat yang kafir, yang dirayakan dengan keliru.”

Tajam terhadap budaya Natal dari kalangan Kristian itu sebenarnya sudah banyak dilakukan. Seorang pendeta bernama Budi Asali M.Div., menulis artikel panjang mengenai Natal berjudul Pro-Kontra Perayaan Natal, dan disebarluaskan melalui jaringan internet. Pendeta ini membuka tulisannya dengan ungkapan: “Akhir-akhir ini makin ramai orang Kristian yang menentang perayaan Natal, dan mereka menentang dengan cara yang sangat fanatik dan keras, dan menyerang orang Kristian yang merayakan Natal. Kalau ini dibiarkan, maka Natal bisa berkurang kesemarakannya, dan menurut saya itu akan sangat merugikan kekristianan. Kerana itu mari kita membahas persoalan ini, supaya boleh memberi jawapan kepada orang-orang yang anti-Natal.”

Jelas, banyak di kalangan Kristian yang “anti-Natal”, meskipun mereka tenggelam oleh gegap gempita peringatan Natal yang begitu gemerlap. Di Malaysia, 27 Disember 2003, ada perayaan Natal Bersama di Padang Olahraga Kinabalu, Sabah, yang dihadiri ratusan ribu orang.

Selain ada ‘pawai lampion’, nyanyian lagu-lagu Natal, ada juga acara peragaan busana batik yang dilakukan oleh beberapa peserta pertandingan ratu cantik dari pelbagai negara. Acara ini disiarkan langsung oleh TV1 Malaysia. Seperti halnya di berbagai-bagai belahan dunia lainnya, Santa Claus sudah jauh lebih popular daripada Jesus. Pohon cemara yang sukar dicari di Palestin sudah menjadi simbol Natal.

Sebenarnya, jika ditelusuri, kisah Natal itu sendiri sangat menarik. Bagaimana satu tradisi kafir (pagan) di wilayah Romawi kemudian diadaptasi menjadi tradisi keagamaan Kristian. Banyak literatur menyebutkan bahawa tanggal 25 Disember memang merupakan hari peringatan Dewa Matahari yang di Romawi dikenal sebagai Sol Invictus.

Setelah Constantine mengeluarkan the Edict of Milan, pada 313M, maka dia kemudian mengeluarkan sejumlah peraturan keagamaan yang mengadaptasi tradisi pagan. Pada 321M, ia memerintahkan pengadilan cuti pada hari “Hari Matahari” (sun-day), yang dikatakan sebagai “hari mulia bagi matahari”.

Sebelumnya, kaum Kristian – sama dengan Yahudi – menjadikan hari Sabbath sebagai hari suci. Maka, sesuai dengan peraturan Konstantine, hari suci itu diubah, menjadi Sunday.

Sampai abad ke-4 M, kelahiran Jesus diperingati pada 6 Januari yang hingga kini masih dipegang oleh kalangan Kristian Ortodoks tertentu. Namun, kemudian, peringatan Hari Kelahiran Jesus diubah menjadi 25 Disember.

Ada sebahagian kalangan Kristian yang berdebat bahawa tanggal 25 Disember itu diambil supaya perayaan Natal dapat menyaingi perayaan kafir tersebut.

Tetapi, apa yang terjadi sekarang, nampaknya seperti yang dikatakan oleh Remi Silado, bahawa perayaan Natal sudah didominasi oleh tradisi perayaan kaum kafir.

Maka, muncullah di kalangan Kristian gerakan untuk menentang perayaan Natal pada 25 Disember.

Apatah lagi ada yang kemudian melihat penciptaan tokoh Santa Claus yang sebenarnya merupakan sebahagian daripada reka cipta Barat untuk ‘melanggengkan hegemoni imperialistiknya’, yakni ingin menciptakan imej bahawa masyarakat Barat adalah dermawan, baik hati, suka memberi hadiah, seperti Santa Claus. Begitulah sebagian daripada tradisi Kristian Barat.

Menilai perilaku masyarakat Barat itu nampaknya pernyataan Jan Bremmer perlu ditekankan: “It is their relevance to Greek society that makes the mythoi still fascinating today, for however different the Greeks were from us, they were also very much the same”.

Bagaimana sikap Muslim?

Dalam al-Quran, Surah Maryam disebutkan bahawa: “Dan mereka berkata: Tuhan Yang Maha Pemurah itu mempunyai anak. Sesungguhnya (kalian yang menuduh Allah punya anak itu) telah melakukan perbuatan yang sangat mungkar (syaian iddan). Dan Allah berfirman dalam al-Quran: “Hampir-hampir langit runtuh dan bumi terbelah serta gunung-gunung hancur. Bahawasanya mereka menuduh Allah Yang Maha Pemurah itu mempunyai anak.” (QS 19:88-91).

Dalam buku Konsili-konsili Gereja karya Norman P. Tanner, (hlm. 36-37), ditulis apa yang disebut ”Syahadat Nicea”: “Kami percaya pada satu Allah, Bapa Yang Mahakuasa, Pencipta segala yang kelihatan maupun yang tidak kelihatan. Dan pada satu Tuhan Yesus Kristus, Putra Allah, Putra Tunggal yang dikandung dari Allah, yang berasal dari hakikat Bapa, Allah dari Allah, terang dari terang, Allah benar dari Allah Benar, dilahirkan tetapi tidak diciptakan, sehakikat dengan Bapa, melalui dia segala sesuatu menjadi ada…”

Sedangkan dalam buku “Tanya Jawab Syahadat Iman Katolik disebutan juga teks ”syahadat Katolik”: “Kami percaya akan satu Allah, Bapa yang Mahakuasa, Pencipta hal-hal yang kelihatan dan tak kelihatan, Dan akan satu Tuhan Yesus Kristus, Sang Sabda dari Allah, Terang dari Terang, Hidup dari Hidup, Putra Allah yang Tunggal Yang pertama lahir dari semua ciptaan, Dilahirkan dari Bapa, Sebelum segala abad … “ (Alex I. Suwandi PR, Tanya Jawab Syahadat Iman Katolik, (Yogyakarta: Kanisius, 1992), hlm. 9-10).

Dr Adian Husaini
Medan, 13 Desember 2014.
Kisah Mitologi Barat dikutip dari Adian Husaini, Wajah Peradaban Barat, (Jakarta: GIP, 2005).

Penulis adalah Ketua Program Magister dan Doktor Pendidikan Islam – Universiti Ibn Khaldun Bogor. Catatan Akhir Pekan (CAP) hasil kerjasama Radio Dakta 107 FM dan hidayatullah.com

Artikel ini telah terlebih dahulu disiarkan di laman web hidayatullah.com dan ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, mahupun pendirian Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?