Paling panas di Ismaweb.net sepanjang 2015

Oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin

TAHUN 2015 bakal melabuhkan tirai tepat jam 12.00 tengah malam ini.

Sebagai pengenalan, Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net), tampil ke tengah-tengah masyarakat selaku portal berita yang memberi tumpuan kepada isu-isu semasa, politik, dunia khususnya yang melibatkan Melayu dan Islam.

Biarpun baru, Ismaweb berjaya menembusi pembaca-pembaca awam yang lebih luas di negara ini dan negara jiran dengan mengangkat agenda Melayu dan Islam sebagai agenda utama.

Ismaweb berjaya menyaingi portal-portal berita lain dalam mengangkat suara majoriti Melayu dan umat Islam, sekaligus menentang arus liberalisme, sekularisme, ajaran sesat dan songsang yang dibawa oleh portal-portal liberal lain.

Berikut adalah senarai isu yang mendapat perhatian pembaca dengan pencapaian hit tertinggi dan dibahagikan mengikut kategori; Berita, Artikel, Berita Dunia dan Kata Pedang.

BERITA TERPANAS 2015:

1. Azalina, jangan rasa jadi menteri lebih besar daripada kuasa Allah

Berita ini adalah teguran Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman dalam isu tapisan adegan seksi dan ghairah dalam drama dan filem tempatan.

Ustaz Zamri mengingatkan Azalina agar menggunakan jawatan untuk memelihara peraturan Allah, bukannya teruja dengan cara hidup Barat.

Azalina ketika itu baru saja dilantik menjadi menteri oleh Datuk Seri Najib Razak.

menang debat

Kejayaan mereka membanggakan seluruh rakyat Malaysia.

2. Anak Malaysia juara debat bahasa Inggeris, kalahkan Israel

Berita ini melaporkan kejayaan anak Malaysia menjadi johan dalam Pertandingan Debat Cambridge Intervasity (Cambridge IV).

Menariknya, pasukan Malaysia diwakili oleh pelajar UiTM dan UIAM ini turut berjaya mengalahkan pendebat dari universiti terkemuka dunia dari negara lain termasuk dari Israel.

3. Perbuatan ‘haram’ dalam Da’i Milenia Musim Ketiga

Dalam berita ini, Ismaweb mendedahkan kerisauan para penonton rancangan realiti Da’i Milenia Musim Ketiga yang menyedari berlakunya perkara yang bertentangan syariat dalam rancangan itu.

Mursyid rancangan, Datuk Ustaz Kazim Elias ketika diminta mengulas kejadian itu berkata beliau tidak bersetuju jika berlaku sebarang pelanggaran hukum dan menyatakan sesuatu yang haram adalah tetap haram.

4. Tun Dr Mahathir ‘serang’ Najib lagi

Serangan bertubi-tubi mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sama ada melalui ucapan dan blog, turut diberikan tumpuan oleh Ismaweb.

Imej Datuk Seri Najib kini dilihat agak buruk kerana masih tidak mampu menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir mahupun pihak-pihak lain.

5. Elok masuk gereja pakai seluar dalam sahaja: Ridhuan Tee

Pendakwah bebas Ustaz Dr Ridhuan Tee Abdullah sentiasa memberikan komen pedas terhadap perilaku hodoh puak ultra kiasu yang sering masuk campur dalam urusan umat Islam.

Dalam isu etika berpakaian, Ridhuan Tee mencabar pihak yang memperlekeh kod etika berpakaian di pejabat awam agar masuk ke gereja dengan hanya berseluar dalam!

ARTIKEL TERPANAS 2015

1. Pengalaman Ustaz Aizam Mas’ud melawat negara Syiah, Iran

Dalam artikel ini, Pegawai Penyelidik Jakim, Ustaz Aizam berkongsi pengalamannya melawat negara Iran yang mengamalkan ajaran sesat Syiah.

Beliau mendedahkan bagaimana pengamalan Syiah yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

2. 8 perkara Lee Kuan Yew akan lakukan jika memerintah Malaysia

Artikel ini adalah petikan ringkas nota penting daripada buku Singapore in the Malay World, tulisan Lily Zubaidah Rahim.

Penyelidik pusat kajian IRIS, Asyraf Farique mengeluarkan lapan perkara penting antaranya ialah Lee Kuan Yew akan memperalatkan orang Melayu Malaysia sebagai mana dia telah memperalatkan orang Melayu Singapura jika dia memerintah Malaysia.

3. Pecat TPM: Beza antara Najib dan Tun M

Artikel ini ditulis oleh bekas wartawan Ismaweb, Azri El ketika hari pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yasin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Datuk Seri Najib.

Azri menjelaskan penyingkiran Muhyiddin oleh Najib berbeza dengan penyingkiran Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba dan Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Perdana Menteri Keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

4. 10 kesilapan profesional dalam PAS

Timbalan Presiden Isma, Tuan Haji Aminuddin Yahaya menggariskan 10 kesilapan kumpulan profesional dalam PAS sehingga menyebabkan mereka kalah teruk dalam pemilihan parti itu.

Antaranya ialah terlalu gopoh, menghentam presiden parti secara terbuka, terlalu tunduk dengan DAP dan taasub dengan pemimpin PKR.

Kumpulan profesional ini telah membawa diri keluar daripada PAS dan membentuk parti PAN yang cenderung kepada DAP.

logos hope penang 3

Kapal Logo’s Hope, kapal milik gerakan kristianisasi telah berlabuh di Kuching dan Pulau Pinang pada tahun 2015.

5. Malaysia berdepan promosi Kristianisasi besar-besaran

Pengarang Ismaweb, Mohd Firdaus Salleh Hudin mengulas pameran buku atas kapal yang digerakkan oleh gerakan Kristianisasi.

Penulis mendedahkan asal usul kapal Logo’s Hope yang merantau ke seluruh dunia dan berlabuh di negara-negara umat Islam atas alasan menjual buku bagi menggalakkan pendidikan dan budaya membaca, namun terdapat agenda kristianisasi yang boleh dilihat dengan jelas.

BERITA DUNIA

1. Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia keluar fatwa wajib sokong Turki

Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia yang diketuai oleh Prof Dr Yusof Al-Qaradawi mengeluarkan fatwa kewajiban menyokong dan membantu produk dan ekonomi Turki.

Kenyataan sokongan ini dikeluarkan seminggu selepas kejadian Turki menembak jatuh jet pejuang Russia yang menceroboh ruang udara Turki.

death ambushes

Sejak dua hari dimuatnaik ke youtube, filem Al-Qassam ini telah ditonton lebih 75,000 kali.

2. Serangan hendap yang membunuh: Filem kisah benar 5 pejuang Al-Qassam

Kisah perjuangan Al-Qassam melawan tentera Zionis Israel yang dilakon semula telah menarik perhatian dunia.

Terdapat banyak pengajaran yang diselitkan dalam filem ini seperti nilai perjuangan, persaudaraan dan pergantungan harapan yang tinggi kepada Allah.

3. Jam ciptaan remaja Muslim disangka bom akhirnya pikat Obama, firma gergasi

Hanya kerana mencipta jam yang disangka bom, seorang remaja Islam, Ahmed Mohamed telah ditahan pihak berkuasa.

Namun, di sebalik musibah itu, Ahmed terkenal dan mendapat perhatian Presiden Obama dan firma gergasi seperti Google, Facebook dan Twitter.

4. Ucapan Netanyahu penuh rasa takut kepada Intifadah: Hamas

Hamas sekali lagi mencuri perhatian dengan membidas kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa Israel tidak dapat dihapuskan.

Jurucakap Hamas, Husam Badran berkata, Netanyahu sebenarnya takut kepada Intifadah dan amat memerlukan bantuan luar bagi menyekat kebangkitan rakyat Palestin.

5. Presiden Chechnya arahkan polis dan tentera solat Subuh dan Isyak di masjid

Presiden Republik Chechnya, Ramzan Akhmadovich Kadyrov yang berusia 39 tahun telah banyak membawa perubahan di negaranya.

Antara perubahan itu ialah beliau mewajibkan semua petugas polis dan tentera di negaranya untuk solat Subuh dan Isyak di masjid.

KATA PEDANG

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net yang mengulas isu-isu semasa. Pandangan yang dikeluarkan agak panas sesuai dengan namanya Kata Pedang, tetapi masih dalam lingkungan yang dibenarkan Islam dan undang-undang.

1. KATA PEDANG: Wuduk ok, tapi bagaimana syariat lain?

Ketika perhimpunan haram Bersih 4 dijalankan, ada peserta bukan Islam membantu peserta Islam berwuduk.

Pedang hanya membangkitkan persoalan, jika mereka boleh menghormati umat Islam berwuduk, mengapa pula mereka membantah aspek pelaksanaan syariat Islam lain? Oleh itu, umat Islam tidak boleh terlalu bangga kerana mungkin ada agenda di sebaliknya.

2. KATA PEDANG: Misteri Kevin Morais dan siasatan 1MDB

Pedang menjangkakan kehilangan Timbalan Pendakwaraya, Kevin Morais ada kaitan dengan kes 1MDB kerana Kevin bertugas dengan SPRM sebelumnya.

Namun, jangkaan ini telah disangkal oleh pihak SPRM sendiri.

Najib-Netanhayu-cropped-flickr-041015

Gambar viral ini mencetuskan kemarahan banyak pihak terhadap Datuk Seri Najib.

3. KATA PEDANG: Najib tunjuk contoh tidak baik berdepan musuh Islam nombor 1

Dalam pada umat Islam bersedih mengenang kesusahan yang menimpa rakyat Palestin angkara pengganas Yahudi Israel, Datuk Seri Najib masih boleh lagi tersenyum berdepan kepala pengganas dunia nombor 1, Benjamin Netanyahu.

Pedang mencadangkan Najib belajar sikap Izzah bila berdepan musuh seperti yang dilakukan oleh Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan.

4. KATA PEDANG: Serangan Paris dicipta untuk tekan Islam

Militan IS atau Daesh bertanggungjawab dengan serangan Paris yang akhirnya menatijahkan imej yang tidak baik kepada Islam.

Pedang mengangkat pendedahan bekas kakitangan Agensi Keselamatan Nasional Amerika Syarikat (NSA), Edward Snowden bahawa perisik Britian, Amerika dan Israel (Mossad) telah bekerjasama mencipta gerakan IS.

5. KATA PEDANG: Adakah pemilik Rayani Air sokong pelaksanaan hukum Islam?

Syarikat penerbangan ‘patuh syariah’, Rayani Air yang diterajui pasangan bukan Islam menarik perhatian Pedang.

Mungkin kerana pasaran yang menyebabkan Rayani Air berani menyekat hidangan arak dan menghalang pramugari berpakaian seksi.

Pedang berharap hukum Islam akan terus ditegakkan setelah masyarakat diberi pendidikan dan kefahaman supaya ‘pasaran’ untuk pelaksanaan syariat Islam terbuka luas dalam segenap aspek kehidupan.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2016, TERUSKAN KESETIAAN ANDA BERSAMA ISMAWEB.NET

Logo ismaweb

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian