Pemilik lot niaga di Ampang Park buat akuan sumpah halang perobohan
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
AMPANG, Khamis – Sekurang-kurangnya 137 daripada 253 pemilik lot perniagaan di kompleks beli-belah Ampang Park di sini membuat akuan sumpah menghalang ruang niaga mereka diambil untuk dirobohkan.
Timbalan Pengerusi Persatuan Kebajikan Peniaga-Peniaga Kecil Ampang Park, Wan Kamal Izuddin Wan Ismail, berkata pemaju hanya memiliki 60 lot dan selebihnya adalah milik mereka.
Beliau berkata, majoriti pemilik strata di kompleks beli-belah tertua di ibu negara itu tidak bersetuju dengan rancangan merobohkan Ampang Park bagi memberi laluan kepada pembinaan sistem pengangkutan awam di situ.
“Mass Rapid Transit (MRT) Corp dalam pertemuan bersama pemilik lot pada November lalu telah membentangkan pelan pembinaan terowong MRT yang tidak akan mengganggu bahagian atas Ampang Park,” katanya kepada pemberita selepas satu demonstrasi aman di sini, hari ini.
Demonstrasi itu diadakan tengah hari tadi bertujuan menyelamatkan bangunan bersejarah itu daripada dirobohkan.
Justeru, pemilik yang majoritnya Bumiputera menaruh harapan sangat tinggi kepada MRT Corp supaya konsisten dengan perancangan mereka dan tidak berubah.
“Pusat beli-belah yang pertama di Malaysia ini menjadi nadi khususnya bangsa Melayu iaitu peniaga, pemilik dan umat Islam.
“Oleh itu, bagi memastikan punca pencarian peniaga yang majoritinya bangsa Melayu tidak diganggu, kami berharap MRT Corp akan konsisten dengan keputusan mereka,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan