PUNB sedia pinjaman kepada OKU

image

MELAKA, Ahad – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bersedia memberi pinjaman kepada orang kurang upaya (OKU) di negara ini dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan golongan OKU.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Ali Rustam, berkata golongan OKU berpotensi menjadi usahawan berjaya sekiranya diberi pinjaman, sokongan serta bimbingan oleh pihak terlibat.

“PUNB memang tiada tabung khas untuk pinjaman perniagaan bagi golongan OKU, tetapi kita bersedia memberi pinjaman bersesuaian sekiranya mereka memohon dan layak menerimanya.

“Golongan OKU mempunyai banyak kelebihan dan mampu menceburi bidang perniagaan sekiranya mereka diberi peluang mencukupi,” katanya selepas majlis jamuan akhir tahun, penyampaian sumbangan anak sekolah, sumbangan warga emas dan penyampaian sijil urut Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia cawangan Melaka di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata, PUNB sentiasa menyahut hasrat kerajaan melahirkan satu keluarga satu usahawan termasuk dalam kalangan keluarga OKU.

“Saya dimaklumkan terdapat beberapa golongan usahawan OKU cacat penglihatan di Melaka, termasuk yang berjaya mengeluarkan produk dan mengeksportnya, membuktikan mereka mampu berjaya seperti orang normal,” katanya.

Beliau berkata, tabung pinjaman Dunia Melayu Dunia Islam Finance House juga diwujudkan di Melaka serta bersedia memberi pinjaman kepada OKU di negeri itu.

Mohd Ali, yang juga Presiden Dunia Melayu Dunia Islam berkata, tabung itu bukan hanya memberi pinjaman perniagaan tetapi juga peralatan perniagaan secara terus kepada pemohon yang layak. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian